Safee hampiri impian besar


"SAYA beritahu supaya berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai cita-citanya sewaktu kecil iaitu menjadi pemain bola sepak terkenal di England. Dia pernah kata mahu jadi seperti David Beckham."

Demikian didedahkan Mohd Sali Mian, bapa kepada penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali.

Read More

Selangor harus buru mata penuh


HANYA jika Selangor dapat menewaskan Kuala Lumpur pada aksi ketiga Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok, baru jurulatihnya, K Devan menganggap juara 32 kali itu sudah kembali ke landasan sebenar.

"Kami belum lagi pada prestasi terbaik. Ini baru kemenangan pertama. Memang serangan kita masih lemah. Separuh masa pertama kita dapat enam peluang, tiada gol dan pada babak kedua kita dapat 10 peluang dan jaringkan dua gol.

"Apa pun saya puas hati dengan komitmen pemain. Cuma secara keseluruhan, banyak lagi yang boleh diperbaiki," kata Devan ketika ditemui selepas Selangor menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin hasil dua jaringan Fadzli Saari pada minit ke-46 dan 59.

Selangor kini di tangga kedua Kumpulan D dengan berkongsi tiga mata bersama T-Team manakala Kuala Lumpur unggul di tangga teratas dengan enam mata dan Polis pula tercorot tanpa sebarang mata.

Devan kembali meletakkan Fadzli sebagai penyerang bersama Rudie Ramli manakala Amri Yahyah turun mengemudi jentera tengah bersama Hardi Jaafar. Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula hanya dimasukkan pada babak kedua.

Ditanya tentang Amri yang masih belum menemui sentuhan gol, Devan berkata: "Selepas ketiadaan Safee Sali, kita harap Amri dapat mengulangi sentuhan gol sepanjang musim 2009. Tapi dia kini kemarau gol dan harap dia dapat kembali menemui sentuhan penyudah."
Read More

Di peta dunia


SAFEE Sali akan ke Cardiff City awal pagi esok - sekali gus membuka lebaran baru buat pemain bola sepak negara untuk meneroka semula saingan di pentas tertinggi.

Read More

Piala Malaysia: Kelantan kukuh kedudukan


KELANTAN, Terengganu dan Selangor - terus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan masing-masing apabila aksi Piala Malaysia bersambung malam tadi tetapi pasukan pilihan, Kedah tersembam di tangan Sabah di Stadium Likas.

Dalam saingan Kumpulan A, Sabah dan Perak berkongsi tangga teratas dengan jumlah mata dan jaringan sama selepas masing-masing merakam kemenangan 2-1 ke atas Kedah dan Johor malam tadi.

Di Stadium Likas, Sabah mengubati kekecewaan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama menentang Perak Selasa lalu dengan menundukkan Kedah 2-1, hasil jaringan Zainizam Marjan (m-27) dan pemain gantian, K Thanaraj (m-77) tatkala Azmi Muslim merapatkan kedudukan buat Kedah empat minit sebelum tamat.

Di Stadium Perak, tuan rumah yang turun tanpa lima tonggak digantung, membuka jaringan menerusi Failee Ghazali pada minit ke-29 diikuti sepakan penalti Shafiq Jamal (m-73) sebelum Azuwad Arip merapatkan jurang untuk Johor tiga minit sebelum tamat permainan.

Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman apabila menjadikan Sime Darby FC sebagai belasahan dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Hairuddin Omar meletakkan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah di depan menerusi jaringan pada minit ke-33 selepas memanfaatkan bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil, sebelum Shahurain Abu Samah meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Shukor Adan menambah derita Sime Darby dengan gol ketiga hasil sepakan bebas 20 meter pada minit ke-64 sebelum Hairuddin (m-72) dan Mohd Firdaus (m-79) melengkap pesta gol tuan rumah.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin, dipaksa bekerja keras juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).

Saingan Kumpulan C menyaksikan FELDA United merampas tangga teratas selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium MBPJ Kelana Jaya, manakala Kelantan menundukkan Johor FC 2-1.

Skuad kendalian E Elavarasan merakam kemenangan kedua selepas menundukkan Johor FC 2-0 Selasa lalu, dan kali ini Nizam Abu Bakar menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kelantan memerlukan jaringan Ramzul Zahini Adnan, dua minit sebelum tamat untuk memastikan kemenangan 2-1 selepas Johor FC membuat kejutan menerusi gol Eddy Helmi Manan pada minit ke-11.

Shakir Shaari mengikat kedudukan sebelum Ramzul memberikan tiga mata buat juara bertahan itu pada minit ke-88.

Dalam saingan Kumpulan D, juara 32 kali, Selangor kembali menemui sentuhan apabila menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam.

Tindakan penyerang Fadzli Saari menukar but sebaik babak kedua membawa tuah apabila menolak masuk lorongan Amirulhadi Zainal pada minit ke-46 untuk gol pertama tuan rumah sebelum meledak gol kedua pada minit ke-59 hasil hantaran Safiq Rahim yang baru seminit masuk menggantikan Fitri Shazwan Raduwan.

Di Stadium MP Selayang, Kuala Lumpur terus selesa di tangga teratas Kumpulan D apabila merakam kemenangan kedua dengan Yong Kuong Yong muncul wira meledak dua gol (m-26, 47) ketika menewaskan T-Team 2-1.
Read More

Pelita Jaya beri lampu hijau


PENYERANG kebangsaan, Mohd Safee Sali mendapat pelepasan daripada majikannya, Pelita Jaya FC semalam untuk menjalani ujian pemilihan dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City, bermula Isnin ini.

Ia pasti melonjak semangat pemain kelahiran Kajang berusia 27 tahun itu untuk berusaha mempamerkan aksi terbaik sepanjang tempoh ujian sehingga 27 September ini.

"Pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satria Wangsa memberi lampu hijau kepada saya. Jadi saya akan pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad (esok) dan terus berlepas ke Cardiff awal pagi Isnin.

"Biarpun memberi pelepasan dan tidak berkata apa-apa, gaya percakapan Lalu Mara seolah-olah dia takut kehilangan saya. Apa pun, jurulatih (Misha Radovic) banyak beri sokongan dan nasihat untuk saya mencuba," kata Safee ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Namun timbul sedikit kebimbangan berhubung tahap kecergasan Safee kerana dia baru pulih daripada kecederaan berulang pada bahagian otot belakang lututnya.

"Saya sangat berharap kecederaan ini tidak menghalang saya untuk beraksi cemerlang di sana. Dengan doa semua peminat, saya harap dapat mengatasi semua cabaran di sana.

"Memang rasa tidak sabar menjalani ujian di Cardiff. Saya akan ikut segala arahan kelab itu dan berusaha memikat mereka dengan cara permainan saya. Harap semuanya berjalan lancar," kata bekas penyerang Selangor itu.

Dalam pada itu, Lalu Mara mendoakan kejayaan Safee dengan berkata: Kami berharap ia akan memberi kebaikan kepada Safee, Pelita Jaya dan seluruh peminatnya, sama ada di Malaysia atau Indonesia.
Read More

FAM pinda jadual suku akhir Piala Malaysia


DEMI memberi ruang buat skuad kebangsaan menentang Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Sydney 7 Oktober depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam bersetuju meminda jadual suku akhir pertama dan kedua serta separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jadual baru suku akhir pertama ialah pada 10 Oktober, suku akhir kedua (14 Oktober), separuh akhir pertama (18 Oktober).

Saingan separuh akhir kedua yang ditetapkan 22 Oktober dan final pada 29 Oktober kekal tidak berubah.

"Jadual diubah bagi membolehkan pemain kebangsaan ke Sydney dari 4 hingga 8 Oktober, sekali gus tidak menjejaskan pasukan negeri masing-masing untuk saingan suku akhir tetapi bagi pemain pemain skuad Skuad SEA yang terpilih ke kejohanan jemputan B-23 Piala VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) di Hanoi yang turut disertai Vietnam, Thailand dan Kemboja (17-24 Oktober), mereka tidak dapat beraksi untuk separuh akhir pertama dan kedua Piala Malaysia.

"Bagi suku akhir pertama dan kedua, pemain skuad Sukan SEA hanya diberi pelepasan dua hari sebelum perlawanan terbabit," kata Hamidin selepas mesyuarat tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Antara pemain yang bakal terlepas kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia andai negeri mereka layak ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izuan Salahuddin (Kelantan), Faizal Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar (Selangor), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS).

Hamidin turut menegaskan mana-mana pasukan yang tidak dapat menyelesaikan tunggakan hutang pada tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Oktober depan, tidak akan dibenar menyertai saingan Liga Malaysia 2012.

Aksi pembuka tirai musim 2012, Piala Sumbangsih dijadual 7 Januari di antara juara Liga Super, Kelantan bertemu juara Piala Malaysia, disusuli aksi sulung Liga Super pada 10 Januari dan Liga Perdana pada 13 Januari manakala final Piala FA dijangka 21 April manakala final Piala Malaysia pada 3 November.
Read More

'Panggilan Cardiff'


PELUANG kini terbuka luas buat penyerang sensasi negara, Mohd Safee Mohd Sali mengembangkan kerjaya ke pentas bola sepak Eropah apabila secara rasmi ditawarkan menjalani ujian percubaan bersama kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City, 12 hingga 27 September ini.

Selain itu, penyerang sensasi berusia 27 tahun turut dikhabarkan mendapat tawaran ujian percubaan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) serta lima kelab dari Jerman, tetapi tiada tawaran rasmi diterima setakat ini.

"Semalam (kelmarin) saya mengadakan perbincangan dengan pemilik Cardiff City (Datuk Chan Tien Ghee) dan alhamdulillah mereka bersetuju untuk menjemput Safee hadir latihan ujian selama dua minggu di sana bermula Isnin ini. "Safee akan menjalani latihan bersama pasukan utama Cardiff City di bawah pengawasan pengurus pasukan, Malky Mackay.

"Jika berjaya, Safee berpeluang beraksi terus dengan Cardiff City secara pinjaman dan tak perlu menunggu pintu perpindahan Januari depan," kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim ketika dihubungi, semalam.

Namun segalanya bergantung kepada pelepasan majikan Safee ketika ini, Pelita Jaya yang kini dalam persiapan menghadapi menghadapi saingan musim baru Liga Super Indonesia (ISL) bermula 8 Oktober ini.

Safee yang nyata teruja dengan tawaran ujian berkenaan berkata: "Sejak kecil saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi di England. Kini saya mendapat peluang menjalani ujian. Ia umpama peluang sekali seumur hidup dan saya akan cuba membuktikan kemampuan diri."

Dua minggu lalu, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim terlebih dahulu mendapat tawaran ujian percubaan bersama Cardiff City.
Read More

Match report pertamaku di Berita Harian, hari ini


JUARA Piala FA dan naib juara Liga Super, Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan garang apabila mudah membenam Sime Darby 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.

Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.

Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.

Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby.

Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.

Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B malam tadi, naib juara musim lalu, Negeri Sembilan berjaya menewaskan juara Liga Perdana, PKNS 2-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.






Read More

Artikel pertamaku di Berita Harian, hari ini



DETIK ditunggu sudah tiba dan hari ini, 16 pasukan akan turun ke gelanggang untuk memburu satu trofi yang dilabel antara tertua di Asia iaitu Piala Malaysia.


Pada firasat jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dia melihat empat pasukan - Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah - memiliki segala ramuan mengejar pengiktirafan itu tapi tidak menolak kemungkinan skuad kerdil mampu membuat kejutan dalam kejohanan yang sentiasa memiliki unsur tradisi dan klasik.


"Bagi saya, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah tetap menjadi pilihan dan mereka cuma kena jaga prestasi dan mempamerkan persembahan baik. Tapi Piala Malaysia sentiasa dengan kejutan dan mana-mana pasukan perlu terima hakikat jika tersingkir awal kerana ini saingan kalah mati.


"Negeri Sembilan juga saya fikir tak harus dipandang rendah. Dua musim berturut mereka beraksi di pentas final. Untuk pasukan dari Liga Perdana saya tak boleh komen banyak. Hanya boleh mengatakan mereka mampu memberi rintangan," kata Rajagobal ketika dihubungi, semalam.


Keempat-empat pasukan yang dinilai Rajagobal itu akan beraksi di gelanggang lawan dan perwatakan mereka bakal diuji, malam ini sama ada menepati ciri-ciri selaku juara dalam pembikinan, musim ini.


Rajagobal turut menjangkakan saingan Piala Malaysia kali ini lebih meriah dibantu dengan keghairahan peminat yang kembali teruja dengan kebangkitan skuad kebangsaan dan skuad Olimpik serta masih ‘panas’ dengan kehadiran tiga kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Liverpool dan Chelsea Julai lalu.


Read More