Kosmo! penerima sulung Anugerah Arena



AKHBAR kompak Kosmo! melakar sejarah apabila dinobatkan selaku Meja Sukan Pilihan (Media Cetak) anjuran saluran televisyen sukan pertama negara, Astro Arena pada Malam Anugerah Arena di sebuah hotel terkemuka di ibu negara malam tadi.

Pemilihan Kosmo! itu sekali gus menjadikannya akhbar pertama memenangi anugerah tersebut yang diperkenalkan buat kali pertama sempena menyambut ulang tahun pertama saluran sukan stesen televisyen berbayar itu.

Kosmo! menewaskan empat lagi akhbar lain iaitu Berita Harian, Harian Metro, The Star dan New Straits Times. Akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai terakhir pencalonan.

Kemenangan itu membolehkan Kosmo! membawa pulang piala iringan selaku akhbar sukan terbaik pilihan Astro Arena.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu, penyerang sensasi skuad bola sepak negara, Safee Sali muncul Atlet Lelaki Pilihan Berpasukan selepas menerima undian sebayak 52 peratus.

Safee yang menjaringkan lima gol untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF Disember lalu menewaskan rakan sepasukannya yang juga ketua pasukan, Safiq Rahim.

Dia yang kini beraksi dalam Liga Super Indonesia bersama Kelab Pelita Jaya, menewaskan tiga calon lain iaitu penjaga gol hoki negara, S. Kumar, pemain pertahanan hoki negara, Amin Rahim dan pemain badminton beregu negara, Koo Kien Keat.

Kategori Atlet Wanita Pilihan Berpasukan pula dimenangi penembak negara, Nor Ayuni Abdul Halim yang memperoleh 35 peratus undian.

Ayuni menewaskan empat calon lain iaitu rakan sepasukannya, Nor Suryani Mohd. Taibi, Low Wee Wern (skuasy), Leong Mun Yee (terjun) dan Sharon Koh (tenpin boling).

Anugerah Atlet Muda Pilihan pula dimenangi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang memperoleh undi 83 peratus.

Khairul menewaskan pasukan bola jaring remaja, Aricco Jumitih (angkat berat), Elaine Koon (gimnastik) dan Yeap Wai Kin (wusyu).

Anugerah kategori Atlet Kebangkitan Pilihan pula menjadi milik jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang memperoleh 42 peratus undi.

Amirul menewaskan pakar pecut lumba basikal negara, Josiah Ng, Bibiana Ng (menembak), pasukan bola tampar pantai wanita dan pasukan ping pong wanita.

Kesemua undian dikira berdasarkan undian yang dibuat orang ramai menerusi laman web rasmi Astro Arena, www.arena.my.
Read More

Liga Super 2011: Selangor rampas takhta


JUARA bertahan, Selangor bangkit pada 10 minit terakhir untuk menewaskan Harimau Muda A 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus berjaya merampas tangga teratas Liga Super daripada Kelantan.

Ketinggalan seawal minit keenam menerusi jaringan Fandi Othman, Selangor bangkit membalas dua gol hasil jaringan pemain gantian, Asraruddin Putra Omar pada minit ke-80 dan Amirulhadi Zainal minit ke-84.

Kesilapan mudah penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi menangkap kemas percubaan Wan Zack Haikal Wan Nor dimanfaatkan Fandi yang pantas menolak masuk gol pertama Harimau Muda A pada minit keenam.

Selangor memiliki dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-30 dan 31 tetapi sepakan gunting Amri Yahyah dan rembatan Fadzli Saari sedikit sipi.

Harimau Muda A turut berpeluang menambah jaringan pada minit ke-38, namun kaptennya, K. Gurusamy yang tidak dikawal di dalam kotak penalti sekadar melepaskan rembatan yang sedikit tersasar.

Babak kedua, Selangor terus mencuba tetapi pada minit ke-52, Fadzli sedikit lambat melepaskan rembatan lalu sempat dihadang pertahanan Harimau Muda A, Fadhli Shas.

Selepas itu, tandukan Asraruddin berjaya ditepis cantik penjaga gol Harimau Muda A, Zamir Selamat pada minit ke-72 manakala rembatan kencang Gurusamy empat minit kemudian berjaya menggegar palang gol Selangor.

Usaha Selangor akhirnya berhasil dengan gol penyamaan yang dicari menjelma pada minit ke-80 apabila Asraruddin menanduk cantik sepakan sudut Safiq Rahim.

Selangor terus garang apabila berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-84 menerusi satu serangan balas pantas yang disudahkan dengan baik oleh Amirulhadi.

Dengan kemenangan ini, Selangor kini mengumpul 20 mata selepas sembilan perlawanan dan akan menanti kunjungan T-Team di laman sendiri, Sabtu ini.
Read More