Wednesday, April 6, 2011

Liga Super 2011: Selangor rampas takhta


JUARA bertahan, Selangor bangkit pada 10 minit terakhir untuk menewaskan Harimau Muda A 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus berjaya merampas tangga teratas Liga Super daripada Kelantan.

Ketinggalan seawal minit keenam menerusi jaringan Fandi Othman, Selangor bangkit membalas dua gol hasil jaringan pemain gantian, Asraruddin Putra Omar pada minit ke-80 dan Amirulhadi Zainal minit ke-84.

Kesilapan mudah penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi menangkap kemas percubaan Wan Zack Haikal Wan Nor dimanfaatkan Fandi yang pantas menolak masuk gol pertama Harimau Muda A pada minit keenam.

Selangor memiliki dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-30 dan 31 tetapi sepakan gunting Amri Yahyah dan rembatan Fadzli Saari sedikit sipi.

Harimau Muda A turut berpeluang menambah jaringan pada minit ke-38, namun kaptennya, K. Gurusamy yang tidak dikawal di dalam kotak penalti sekadar melepaskan rembatan yang sedikit tersasar.

Babak kedua, Selangor terus mencuba tetapi pada minit ke-52, Fadzli sedikit lambat melepaskan rembatan lalu sempat dihadang pertahanan Harimau Muda A, Fadhli Shas.

Selepas itu, tandukan Asraruddin berjaya ditepis cantik penjaga gol Harimau Muda A, Zamir Selamat pada minit ke-72 manakala rembatan kencang Gurusamy empat minit kemudian berjaya menggegar palang gol Selangor.

Usaha Selangor akhirnya berhasil dengan gol penyamaan yang dicari menjelma pada minit ke-80 apabila Asraruddin menanduk cantik sepakan sudut Safiq Rahim.

Selangor terus garang apabila berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-84 menerusi satu serangan balas pantas yang disudahkan dengan baik oleh Amirulhadi.

Dengan kemenangan ini, Selangor kini mengumpul 20 mata selepas sembilan perlawanan dan akan menanti kunjungan T-Team di laman sendiri, Sabtu ini.

0 comments: