Friday, March 11, 2011

Kelayakan Olimpik: Pakistan 0 Malaysia 0 (Agregat 0-2)

HALANGAN pusingan pertama berjaya dilepasi skuad bola sepak Olimpik kebangsaan setelah mereka mengikat Pakistan 0-0 pada aksi kedua di Stadium Punjab, Lahore malam kelmarin.

Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Shah Alam, 23 Februari lalu.

Kini semua mata tertumpu kepada majlis undian pusingan kedua yang akan berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pada 30 Mac depan.

Untuk aksi pusingan kedua secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bersama 10 lagi pemenang pusingan pertama bakal diundi bertemu 13 pasukan yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Kemungkinan lawan Malaysia pada pusingan kedua itu ialah Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia tidak gentar siapa yang bakal ditentang pada pusingan kedua nanti sambil menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mencipta kejutan.

“Tiada mana-mana pasukan saya harapkan untuk diundi bertemu nanti. Ini kerana, jika telah mendapat bye, sudah tentu mereka semua pasukan yang bagus.

“Tapi kita tidak akan menyerah kalah sebelum turun beraksi dan akan memberi saingan. Dengan persiapan rapi, tak mustahil untuk kita mencipta kejutan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Lahore semalam.



Andai berjaya melepasi pusingan kedua, Malaysia berpeluang menjadi 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan tiga kumpulan untuk bersaing enam perlawanan sepanjang 21 September 2011 hingga 14 Mac 2012.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala tiga naib juara bakal bertarung merebut satu slot pertemuan playoff dengan pasukan di tangga keempat saingan kelayakan zon Afrika.

Diminta mengulas aksi para pemainnya pada perlawanan di Lahore kelmarin, Kim Swee berkata, sasaran untuk tidak melepaskan sebarang gol berjaya dicapai biarpun mereka gagal meraih kemenangan.

“Seperti dijangka, Pakistan mengasak dari awal. Tapi pemain kita telah menjalankan tugas dengan baik. Cuma keadaan padang yang teruk tidak membenarkan kita bermain mengikut rentak sebenar.

“Babak kedua, kita mula menguasai permainan dengan mendapat tiga percubaan terbaik tetapi gagal disempurnakan oleh Syahrul Azwari Ibrahim, Gary Steven Robbat dan Ahmad Fakri Saarani,” ujarnya.

Skuad negara dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi ini tetapi para pemain Harimau Muda A akan terus ke Kota Kinabalu tengah hari ini untuk bertemu Sabah pada aksi Liga Super malam esok.


0 comments: