Safee lonjak Pelita Jaya
JAWA BARAT - Langkah kanan berjaya dilakar penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali pada aksi sulungnya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya di Stadium Singaperbangsa, Karawang, di sini petang semalam.Pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super Indonesia (ISL) menentang Sriwijaya FC itu, gol tunggal Safee pada minit ke-62 menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat Pelita Jaya.
Ia merupakan gol ke-110 peribadi Safee untuk saingan peringkat kelab sejak tahun 2003 termasuk ketika dia menyarung jersi Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor.
Malah lebih manis lagi, pemain kelahiran Kajang, Selangor berusia 27 tahun itu turut diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan semalam.
Pada aksi di hadapan 6,000 penonton itu, Safee bermula dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Misha Radovic sebelum dikeluarkan pada minit ke-84.
Agak mengejutkan apabila Safee turun dengan memakai jersi No. 55, bukannya No.10 yang lazimnya begitu sinonim dengan dirinya.
"No. 10 sudah didaftarkan kepada Andesi Prabowo bagi saingan ISL musim ini. Jadi saya perlu memilih nombor baru.
"Saya pilih sendiri No.55 kerana lima campur lima jumlahnya 10. Selain itu, No. 55 seakan-akan nama singkatan saya iaitu SS (Safee Sali)," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan.
Ditanya perasaannya setelah meledak gol kemenangan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti itu, Safee berkata, ia membuatkan dirinya semakin yakin bagi mengharungi saingan ISL.
"Ketika berlari meraikan jaringan tersebut ke arah penyokong, rasa gembira kerana berjaya menghadiahkan sesuatu buat mereka.
"Tapi apa yang lebih penting, tiga mata berjaya dicatat oleh Pelita Jaya dan ia permulaan baik untuk kami memperbaiki kedudukan pada saingan pusingan kedua ini," jelasnya.
Sebelum perlawanan, Pelita Jaya berada di kedudukan tercorot (ke-15) manakala Sriwijaya FC tempat keenam.
Perlawanan seterusnya buat Safee dan Pelita Jaya ialah bertemu Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa pada Sabtu depan.
0 comments:
Post a Comment