Kelayakan Olimpik: Skuad negara dikawal ketat
SKUAD Olimpik kebangsaan lega kerana dapat memberi tumpuan penuh menjelang aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam ini.Ini kerana, sebaik tiba di Lahore awal pagi semalam, barisan 18 pemain negara berserta 10 pegawai telah diberi kawalan ketat.
Ia termasuklah kawalan oleh anggota keselamatan yang lengkap dengan senapang Ak-47 di sekeliling hotel penginapan mereka, Hotel Park Plaza.
Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, semua pemain tidak dibenarkan keluar dari hotel terbabit oleh pihak keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Tiada masalah sangat sepanjang perjalanan ke sini (Lahore). Semuanya berjalan lancar. Cuma kawalan keselamatan agak ketat dengan pemain tidak dibenarkan berada di luar kawasan hotel.
“Selain itu, seramai 10 hingga 15 anggota keselamatan dilihat berkawal sepanjang masa sambil memegang AK-47 di sekeliling kawasan hotel,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Lahore petang semalam.
Setelah menjalani latihan ringan berhampiran kolam renang di hotel pada sebelah pagi semalam, skuad negara mengadakan latihan bagi menguji padang di Stadium Punjab malam tadi.
“Semua pemain nampaknya mendapat cukup yang rehat sepanjang hari ini (semalam). Saya percaya para pemain sudah bersedia untuk turun menghadapi Pakistan esok (malam ini) tanpa sebarang masalah,” jelas Kim Swee.
Malaysia menang 2-0 ke atas Pakistan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada 23 Februari lalu menerusi jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Irfan Fazail.
Bagi mengukuhkan kedudukan, Malaysia perlu mencari gol awal malam ini dan jika berjaya mendahului 1-0, Pakistan pasti lebih tertekan kerana mereka perlu membalas empat gol berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.
KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:
Khairul Fahmi Che Mat (kapten), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Irfan Fazail, Ahmad Fakri Saarani.
Fakri mahu akhiri kemarau gol di Lahore
PENYERANG utama skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mahu menjadikan aksi bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam ini sebagai penamat kemarau gol berpanjangan yang dialaminya di peringkat antarabangsa.
Pemain kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu turut gagal menjaringkan sebarang gol sepanjang menyarung jersi Negeri Sembilan musim ini.
Jaringan terakhirnya di pentas antarabangsa ialah ketika skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos 2010.
Selepas itu, Fakri hanya sempat beraksi beberapa minit pada aksi pertama Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November lalu sebelum mengalami kecederaan lutut yang memaksanya turut melupakan Piala Suzuki AFF 2010.
“Saya memang nak sangat menjaringkan gol pada aksi kedua di Lahore ini. Mungkin rezeki untuk mendapatkan gol itu belum ada.
“Rentak permainan sudah ada tetapi gol belum ditemui. Mungkin rezeki saya menamatkan kemarau gol di Lahore,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin.
Namun, Fakri mungkin akan diletakkan sebagai penyerang tunggal pada aksi malam ini kerana jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee dijangka memadatkan bahagian tengahnya.
“Bermain sebagai penyerang tunggal tidak menjadi masalah kerana saya sudah biasa memainkan peranan itu. Malah apabila diletakkan sebagai penyerang kedua atau pun di bahagian sayap, saya tiada masalah.
“Saya rasa semua pemain sudah pun bersedia untuk bertemu Pakistan tetapi pada masa sama kami tetap menghormati pasukan lawan,” jelasnya.
Pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada 23 Februari lalu, Fakri memiliki tiga peluang keemasan pada babak kedua tetapi dinafikan kecekapan penjaga gol gantian Pakistan, Muhammad Umar.
INFO:
JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012
(HARI INI)
PAKISTAN (0) lwn MALAYSIA (2)
Stadium Punjab, Lahore, 11 malam
(Siaran langsung TV1 dan Astro Arena 801)
* Keputusan perlawanan pertama dalam kurungan.
0 comments:
Post a Comment