Wednesday, March 9, 2011

FAM tumpu peringkat akar umbi


MASA depan bola sepak negara tampak semakin cerah andai dilihat kepada perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menumpukan pembangunan bakat bermula dari peringkat akar umbi.

Beberapa cadangan dan perancangan menarik telah dinyatakan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas baginda mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM semalam.

Menurut Tengku Abdullah, FAM telah mendapat undangan daripada Persatuan Bola Sepak Slovakia (SFZ) untuk menghantar skuad bawah 15 tahun (B-15) dan skuad B-16 beraksi pada saingan liga kebangsaan B-15 dan B-16 negara itu tahun depan.

“Pihak SFZ telah memberi peluang untuk pasukan remaja kita beraksi liga remaja di sana (Slovakia) selama dua musim iaitu 2012 dan 2013. Ia akan bermula pada awal tahun depan.

“Jadi dengan penghantaran pemain lebih muda berbanding ketika kita menghantar skuad Harimau Muda sebelum ini, harap program ini turut akan mencapai kejayaan,” kata baginda pada sidang media tersebut.

Selain itu, Tengku Abdullah memberitahu, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia semalam turut mengemukakan cadangan kepada FAM untuk menubuhkan satu unit khas bagi pencarian bakat di peringkat akar umbi.

“Sudah sampai masanya kita mengikut jejak seperti Jepun yang mempunyai kelompok 200,000 pemain muda. Untuk memperbesarkan kelompok pemain muda, maka kita perlukan tubuhkan segera unit ini.

“Pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar tidak mencukupi. Kita perlu ramai lagi pemain dari luar bandar yang boleh dicungkil bakal mereka.

“Jadi atas alasan itulah kita pernuh memperluaskan jaringan pencarian bakat dengan menggunakan khidmat bekas pemain-pemain kebangsaan dan jurulatih di peringkat daerah,” jelas baginda.

Tengku Abdullah turut menyatakan bahawa Akademi Bola Sepak Negara akan dimulakan pembinaannya di atas tanah seluas 32 hektar di Gambang, Kuantan, Pahang pertengahan tahun ini dan dijangka siap sebelum Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Kuantan.

“Tanah sudah dikenalpasti dan pelan projek pun sudah dilukis. Akademi tersebut akan memiliki 11 padang dan sebuah stadium mini yang kesemuanya menggunakan rumput jenis Bermuda,” ujarnya.

Akademi tersebut menggunakan peruntukan RM20 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu.

0 comments: