Tuesday, March 8, 2011

Kelayakan Olimpik: Mental perlu kuat


KEKUATAN mental menjadi elemen penting buat skuad negara apabila turun berdepan Pakistan pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Punjab, Lahore malam esok.

Perlawanan tersebut dijadualkan bermula pukul 8 malam waktu Pakistan (pukul 11 malam waktu Malaysia) dengan skuad negara mendahului 2-0 hasil kemenangan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu.


Skuad negara yang dibarisi 18 pemain telah berlepas ke Lahore menerusi Karachi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines tengah hari semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia dan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan segala taktik kotor yang mungkin dilakukan Pakistan.

“Kita perlu bersedia menghadapi psikologi pasukan lawan. Tiba saja di Lahore, saya jangka macam-macam perkara tak diingini pasti berlaku dan itu sememangnya cuba kami atasi.

“Kita lihat Pakistan boleh melengah-lengahkan masa pada aksi pertama di Shah Alam. Mungkin mereka yakin boleh menang lebih 2-0 di Lahore.

“Jadi kita harus berwaspada dan saya yakin para pemain mampu untuk menangani segala ujian dari segi mental dan strategi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di KLIA, Sepang pagi semalam.

Skuad 18 pemain bagaimanapun hanya menampilkan dua bek tengah iaitu Muslim Ahmad dan Fadhli Shas setelah Faizal Muhamad terpaksa ditinggalkan akibat mengalami kecederaan pada sesi latihan terakhir petang kelmarin.

“Saya harap tiada apa yang berlaku kepada Muslim dan Fadhli sepanjang perlawanan nanti. Tapi jika itu berlaku juga, saya masih boleh meletakkan Mahali Jasuli (bek kanan).

“Affize Faisal Mamat (bek kiri) boleh beraksi di bek kanan manakala Fandi Othman (sayap kiri) atau Nazirul Naim Che Hashim boleh mengisi tempat Affize.

“Bagi saya, kesemua 18 pemain yang dibawa ini boleh beraksi dua atau tiga posisi. Ia satu kelebihan,” jelas Kim Swee.

Pengendali berusia 41 tahun itu membayangkan untuk meletakkan penyerang tunggal, Ahmad Fakri Saarani manakala di posisi tengah, Irfan Fazail akan berada di hadapan K. Gurusamy dan Gary Steven Robbat.



'Apek' tenang hadapi Pakistan

NADA tenang disuarakan kapten skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat membuktikan keyakinan skuad negara untuk menyingkirkan Pakistan, sekali gus layak ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012.

Khairul Fahmi, 22, atau lebih popular dipanggil ‘Apek’ berkata, apa yang lebih penting difikirkan mereka ialah untuk memberikan fokus seratus peratus sepanjang 90 minit aksi kedua bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam esok.

“Tiada masalah apa-apa. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini. Jurulatih (Ong Kim Swee) pun sudah pesan supaya kami beri fokus lebih kerana Pakistan pasti akan tampil secara menyerang kali ini.

“Selain itu, kami juga perlu bersedia dengan apa saya perkara yang berlaku di dalam atau luar padang. Insyaallah saya akan buat yang terbaik kerana kami mahukan kemenangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.

Penjaga gol Kelantan itu akan berusaha memainkan peranan selaku ketua pasukan dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan motivasi rakan-rakannya sepanjang perlawanan malam esok.

“Saya akan gunakan segala pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini untuk dikongsi dengan pemain lain khususnya apabila kami beraksi di tempat lawan,” jelas Khairul Fahmi.

Sementara itu, tonggak pertahanan, Muslim Ahmad, 22, mengingatkan rakan-rakan sepasukannya supaya tidak leka dan memandang rendah pasukan lawan biarpun skuad negara menang 2-0 di Shah Alam.

“Perlawanan kali ini kami perlu beri lebih perhatian dan tumpuan lebih kerana Pakistan akan menyerang untuk memburu gol bagi mengatasi kelebihan dua gol yang kita miliki.

“Saya janji akan beraksi dengan bermati-matian bagi memastikan Malaysia berjaya layak ke pusingan kedua,” kata Muslim yang membentuk gandingan mantap di posisi bek tengah bersama Fadhli Shas ketika membawa Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Andai melepasi Pakistan, skuad negara akan ke pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan dengan kemungkinan diundi bertemu sama ada Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

13 pasukan terbabit mendapat bye pusingan pertama.

INFO:

JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(ESOK)

PAKISTAN (0) lwn MALAYSIA (2)
Stadium Punjab, Lahore, 11 malam
(Siaran langsung TV1 dan Astro Arena 801)

* Keputusan perlawanan pertama dalam kurungan.

0 comments: