Monday, February 28, 2011

Sentuhan Safee berbisa


SETELAH meledak dua gol pada aksi persahabatan pertamanya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya, Khamis lalu, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali (gambar) terus menunjukkan ketajaman sentuhan penyudahnya.

Pada aksi persahabatan kedua menentang Pra PON DKI Jaya di padang latihan kelab di Sawangan, Jawa Barat petang semalam, Safee, 27, berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu Pelita Jaya mencatat kemenangan 2-0.

"Pada perlawanan tadi (semalam), saya beraksi penuh 90 minit. Saya menjaringkan gol kedua manakala Juan Ra- mirez (penyerang dari Paraguay) menjaringkan gol pertama pasukan.

"Perlawanan ini lebih sengit berbanding ketika kami menewaskan Ragunan FC 6-0 pada Khamis lalu kerana pasukan Pra PON DKI Jaya ini lebih kuat.

"Cuma hujan seharian di Jakarta menyebabkan perlawanan berlangsung di atas padang licin dan saya perlu berhati-hati untuk mengelak kecederaan," kata Safee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta petang semalam.

Namun ujian sebenar Safee bakal hadir pada Sabtu ini apabila dia akan turun beraksi untuk perlawanan rasmi pertamanya dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) bertemu Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang.

"Dari segi keserasian dengan rakan sepasukan lain, saya rasa tiada masalah kerana sudah dua minggu bersama mereka. Saya juga sudah membiasakan diri dengan corak 'one touch football'.

"Cuma dua pemain import baru Pelita Jaya yang dibawa dari Australia hanya akan tiba esok (hari ini) dan kami akan cuba untuk membentuk keserasian cepat dengan mereka," ujar Safee.

Safee yang menyarung jersi No. 10 pasukan Pelita Jaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi dalam saingan ISL dan diberi harapan besar untuk memperbaiki kedudukan kelab itu yang kini berada di tangga tercorot liga.

0 comments: