Saturday, February 12, 2011

Liga Premier: PKNS FC kekal rentak cemerlang

KELAB dari Selangor, PKNS FC meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) 2-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada aksi Liga Premier semalam.

Pada perlawanan sulung 31 Januari lalu, skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu meraih tiga mata penuh di laman sendiri setelah menewaskan Sime Darby 1-0.

Petang semalam, dua gol PKNS pada aksi di tempat lawan itu telah dijaringkan oleh Ahmad Tharmini Saiban dan Khairul Akhyar Husain.

Turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut ialah USM FC yang berjaya menewaskan SDM Navy 3-2 di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Gol-gol USM FC dijaringkan Baser Napae pada minit ke-52, Fauzan Zainal Abidin (57) dan Failee Ghazli (90) manakala dua gol SDM Navy disumbang S. Thevan (22) dan Ibrahim Ani (54).

Pada aksi pertama, USM FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM di laman sendiri.

Di Stadium Selayang pula, Pos Malaysia yang mengikat Johor 1-1 pada aksi sulung tempoh hari mula menampakkan kegarangan setelah membelasah Pulau Pinang 4-0 petang semalam.

Gol-gol skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu telah dijaringkan oleh S. Sumindran (2), G. Puaneswaran dan Zafran Olibullah.

Sementara itu, di Stadium Negeri, Kuching, perlawanan di antara Sarawak dan Harimau Muda B berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Harimau Muda B mendahului tiga kali menerusi jaringan D. Sarvindran (m-27), Syafiq Shalihin Mohd. Noor (m-56 dan m-80) sebelum Sarawak menyamakan kedudukan tiga kali menerusi Bobby Gonzales (m-44), Asri Chu Chu (m-73) dan Khairul Azahar Eidros (m-85).

Dua baki aksi Liga Premier yang berlangsung malam tadi menyaksikan Sime Darby tewas 0-1 kepada Johor di Stadium MBPJ, Kelana Jaya manakala PDRM seri 1-1 dengan ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

0 comments: