Monday, February 14, 2011

Safee mahu penuhi impian

“HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”

Demikian titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah semalam ketika diminta mengulas penghijrahan penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Sultan Ahmad Shah seolah-olah tidak mahu lebih ramai pemain negara ‘meninggalkan’ saingan Liga Malaysia tetapi pada masa sama tidak berniat menghalang kehendak mereka.

“Bagi saya lebih baik pemain kita kekal beraksi di Malaysia saja. Tapi menghalang tidak, menyuruh pun tidak. Cuma pemain perlu fikir mendalam.

“Jika mereka pergi untuk menambah sumber pendapatan dan mencari pengalaman, saya tiada hak menghalang kerana itu masa depan mereka,” titah baginda ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Namun Safee yang turut ditemui di lokasi sama semalam berkata, dia menghormati pandangan Sultan Ahmad Shah itu tetapi penghijrahan ke Indonesia semata-mata untuk memenuhi impian dan cita-citanya beraksi di liga luar.

“Memang beraksi di Liga Malaysia permainan kita boleh meningkat. Tapi sebagai pemain profesional, saya ada impian bermain di luar dan ketika ini peluang tersebut di depan mata,” jelas Safee.

Safee, 27, bersama isteri, Sabarina Yusof serta dua anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan setahun bakal berlepas ke Jakarta, Indonesia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 711 pada 9.10 pagi ini.

Begitupun, Safee mempunyai tempoh tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan kelab barunya itu kerana aksi pertama pusingan kedua Liga Super Indonesia hanya akan bermula pada 7 Mac depan dengan Pelita Jaya bertemu Persib Bandung.

“Tiada sasaran peribadi. Cuma saya harap dapat menemui segera sentuhan jaringan apabila beraksi di sana nanti serta membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan dalam liga,” ujarnya.

Safee beraksi untuk Kuala Lumpur selama tiga musim (2003-2005) sebelum berhijrah ke Sarawak selama semusim (2006) dan menyarung pula jersi Selangor bermula musim 2007 sehingga aksi terakhirnya kelmarin.

0 comments: