Posisi Safiq tak terjamin di Selangor
NAMA Safiq Rahim begitu gah di peringkat antarabangsa selepas kejayaannya muncul sebagai kapten pertama skuad kebangsaan yang berjaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF pada 29 Disember lalu.
Kecemerlangan Safiq, 24, menjadi jeneral di bahagian tengah skuad kebangsaan berterusan malam kelmarin apabila dia menjaringkan gol pertama ketika menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam.
Namun ia belum menjamin kedudukan selesa buat Safiq dalam pasukan negerinya, Selangor apabila dia hanya diletakkan di posisi sayap kiri pada aksi sumbangsih menentang Kelantan dan sekadar menjadi pemain gantian ketika bertemu Perlis selepas itu.
Situasi itu sebenarnya turut menarik perhatian jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yang mengakui bahawa dia melihat Safiq kurang menyerlah apabila diletakkan di posisi sayap oleh jurulatih Selangor, K. Devan kerana posisi tengah diberikan kepada Amri Yahyah dan Hardi Jaafar.
“Dia (Safiq) bermain dengan cukup baik di posisi tengah. Memang aksinya kurang baik ketika bersama Selangor kerana bagi saya, Safiq sesuai diletakkan sebagai pemain tengah,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.
Bukti keyakinan Rajagobal terhadap kemampuan Safiq, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang dibesarkan di Kuala Selangor itu terus dipilih sebagai kapten skuad kebangsaan biarpun Aidil Zafuan Radzak sudah kembali ke dalam pasukan.
“Kita dalam pasukan ini umpama satu keluarga. Tiada istilah cemburu sesama pemain. Aidil pun faham situasi dan apabila pasukan ini kekal beraksi baik, tiada keperluan untuk serta merta saya menukar ketua pasukan,” jelas Rajagobal.
Sementara itu, Safiq pada sidang media sama berkata, dia begitu gembira kerana berjaya menamatkan kemarau gol yang panjang.
“Sebelum turun beraksi, saya sudah pasang hasrat untuk menjaringkan gol pada perlawanan ini. Alhamdulillah ia tercapai. Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu.
“Tentang tugas kapten, terima kasih kepada jurulatih (Rajagobal) kerana masih percayakan saya. Tapi ia bukanlah sesuatu yang penting.
“Apa yang lebih penting, kehadiran semula Aidil memperkuatkan semula pasukan ini terutama di bahagian pertahanan,” kata Safiq.
Namun Safiq enggan mengulas lanjut mengenai nasibnya yang seolah-olah ‘dipinggirkan’ apabila beraksi bersama pasukan Selangor.
0 comments:
Post a Comment