Wednesday, February 16, 2011

Safee mula menjalani latihan pagi Khamis


PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali akan mula menjalani latihan bersama pasukan barunya, Pelita Jaya pada pagi esok.

Sehari selepas itu, Safee, 27, bersama pemain-pemain Pelita Jaya yang lain akan berangkat ke Puncak, Bandung untuk menjalani kem latihan pusat sempena rehat pusingan pertama Liga Super Indonesia (ISL).

“Tak sabar nak mulakan latihan dan bertemu rakan-rakan dalam pasukan baru.

“Perlawanan pertama saya ialah pada 7 Mac depan menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa, Karawang,” kata Safee menerusi laman Facebook rasminya, ‘SafeeSali_10 Official’ semalam.

Laman Facebook tersebut diuruskan sendiri Safee dan pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim untuk para peminat mengetahui perkembangan terkini perjalanan karier bekas pemain Selangor itu di Indonesia.

Menurut Safee lagi, dia akan melakukan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Indonesia untuk bertemu dutanya, Datuk Syed Munshe Adzaruddin Syed Hassan pada pagi ini.

“Insya Allah, selain kejayaan karier peribadi, penglibatan saya di saingan ISL ini diharap dapat merapatkan semula hubungan Malaysia dan Indonesia yang agak keruh kebelakangan ini,” ujar Safee.

Safee yang merupakan pemain Malaysia pertama beraksi di ISL bersama bapanya, Mohd. Sali Mian, ibunya, Maripah Hussain, isterinya, Sabarina Yusof, dua anaknya, Nur Syaza Syaqina dan Nur Syasya Sofirna serta Zakaria tiba di Jakarta kelmarin.

Sejurus tiba, Safee terus diperkenalkan sebagai pemain baru Pelita Jaya di sebuah hotel terkemuka di Jakarta Selatan pada satu majlis sidang media khas.

Cuti Maulidur Rasul semalam pula digunakan sepenuhnya Safee dan keluarga untuk beristirehat dan berkunjung ke Bandung.

0 comments: