Trofi Liga Juara-Juara di KL
BIARPUN final Liga Juara-Juara musim ini hanya akan berlangsung di Stadium Wembley, London pada 28 Mei depan, kehangatannya mula terasa di negara ini.
Ini kerana, trofi yang menjadi rebutan 16 pasukan yang masih bersaing pada pusingan kedua saingan kelab Eropah itu kini berada di Kuala Lumpur untuk program Jelajah Trofi Liga Juara-Juara 2011.
Bagi program jelajah di benua Asia kali ini, Malaysia menjadi negara pertama persinggahan trofi seberat 7.5 kilogram yang diperbuat daripada perak 952 itu disusuli Thailand, Korea Selatan dan Hong Kong.
Ia merupakan kali kedua trofi Liga Juara-Juara itu diterbangkan ke Malaysia setelah kali pertama pada siri jelajah pada tahun 2007.
Para peminat berpeluang bergambar dengan trofi tersebut di Sunway Pyramid pada Sabtu dan Ahad ini diikuti Gurney Plaza, Pulau Pinang (5 dan 6 Mac) serta Pavilion Kuala Lumpur (11 dan 12 Mac) sebelum ia diterbangkan pula ke Thailand.
Hadir bagi mempromosikan siri Jelajah Trofi Liga Juara-Juara 2011 itu ialah bekas pemain Itali dan Chelsea, Gianfranco Zola yang dilantik sebagai duta jelajah.
Biarpun gagal menjulang trofi Liga Juara-Juara sepanjang kariernya bersama Napoli, Parma, Cagliari mahupun Chelsea, Zola, 45, tetap menganggap ia sebagai satu kejohanan paling prestij di peringkat kelab.
“Apabila dilantik sebagai duta jelajah ini, saya berasa cukup bangga kerana dapat mencurahkan khidmat kepada kejohanan yang cukup berprestij ini.
“Liga Juara-Juara begitu ramai pengikutnya di seluruh negara.
“Saya sendiri apabila mendengar lagu tema Liga Juara-Juara tadi, terasa begitu dekat diri ini dengan Liga Juara-Juara,” katanya pada sidang media di Hotel Hilton Kuala Lumpur pagi semalam.
Ditanya tentang impiannya dalam bidang pengurusan pasukan selepas ini, Zola yang pernah menjadi pengurus West Ham pada 2008 hingga 2010 ringkas berkata: “Sudah tentulah Chelsea.”
Zola yang boleh beraksi sebagai penyerang kedua atau pemain tengah menyerang telah menyarung jersi Chelsea selama tujuh musim iaitu dari 1996 hingga 2003.
0 comments:
Post a Comment