Rajagobal mahu kekal rentak
GENAP lima minggu setelah muncul juara Piala Suzuki AFF 2010, skuad bola sepak kebangsaan kembali berkumpul menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini.
Ia sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa pertama 2011 bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada Rabu depan.
Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia mengharapkan pemainnya dapat mengembalikan prestasi dan rentak cemerlang sepanjang latihan selama tujuh hari itu.
“Saya tak mahu skuad ini kehilangan rentak selepas kita menjuarai Piala Suzuki AFF. Tapi aksi persahabatan dengan pertandingan sebenar banyak bezanya dari segi tempo, suasana dan kehendak.
“Saya juga mahu melihat pemain-pemain yang tiada dalam skuad Piala Suzuki AFF yang kini dipanggil semula dapat mempamerkan kualiti masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Untuk latihan kali ini, Rajagobal memanggil 24 pemain termasuk tujuh yang tidak disenaraikan pada Piala Suzuki AFF iaitu Aidil Zafuan Radzak, Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S. Chanthuru, G. Mahathevan dan Shahrizal Saad.
Namun lima pemain dari skuad Piala Suzuki AFF tidak dipanggil kali ini iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi Johari (Kedah).
Ditanya tentang beberapa pemain kebangsaan yang dilihat tidak menyerlah pada aksi sulung Liga Super pada Sabtu lalu, Rajagobal enggan memberi komen panjang.
“Saya rasa kamu sendiri boleh lihat bagaimana permainan mereka Sabtu lalu. Apa pun sebagai jurulatih, saya akan lihat dan pantau prestasi mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rajagobal turut mengesahkan bahawa dia belum bergelar Datuk seperti apa yang tersebar di laman Facebook dan blog kelmarin yang menyatakan namanya telah tersenarai untuk mendapat gelaran itu sempena Hari Wilayah semalam.
INFO:
SENARAI 24 PELATIH UNTUK AKSI PERSAHABATAN MENENTANG HONG KONG
PENJAGA GOL: Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Sharbinee Allawee Ramli (TER), Farizal Marlias (NS).
PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Muslim Ahmad (HM), Fadhli Shas (HM), Mahalli Jasuli (HM), Faizal Muhamad (HM), Asraruddin Putra Omar (SEL), Sabre Mat Abu (KDH), Azmi Muslim (KDH).
TENGAH: Safiq Rahim (SEL), Amar Rohidan (KDH), K. Gurusamy (HM), G. Mahathevan (NS), S. Kunanlan (NS), S. Chanthuru (KEL), Ashari Samsudin (TER), Amirulhadi Zainal (SEL).
PENYERANG: Safee Sali (SEL), Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM), Ahmad Fakri Saarani (NS), Shahrizal Saad (JFC).
0 comments:
Post a Comment