Wednesday, February 2, 2011

Liga Super 2011: Selangor bergaya, Kelantan hampa


KELANTAN gagal meneruskan retak cemerlang mereka dalam kempen awal Liga Super musim 2011 apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada pertemuan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih dengan mengutip tiga mata penuh ke atas Selangor, Sabtu lalu, skuad kendalian Datuk M. Karathu itu jelas tidak menghampakan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors apabila mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan kapten Mohd. Badri Radzi pada minit ke-35.

Begitupun, hasrat untuk mencatat kemenangan kedua berturut- turut tidak kesampaian apabila Marzuki Yusof menanduk masuk gol penyamaan Terengganu hasil hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-69.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Kelantan cuba mengasak kubu Terengganu pada baki permainan, namun ketumpulan penyudah menghalang The Red Warriors menambah jaringan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam, Harimau Muda A mudah menewaskan pendahulu liga, Pahang 3-1 untuk memberikan skuad Olimpik Malaysia itu kemenangan sulung setelah tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Namun, Pahang berjaya mendahului seawal minit kedua hasil rembatan Famirul Asraf Sayuti sebelum Harimau Muda A menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi tandukan penyerang gantian, Izzaq Faris Ramlan.

Kebangkitan skuad kendalian Ong Kim Swee itu berterusan apabila Izzaq Faris meledak gol kedua Harimau Muda A minit ke-62.

Izzaq terus menjadi 'duri dalam daging' apabila dia dijatuhkan Saiful Nizam Miswan yang terus dilayangkan kad merah pada minit ke-87 untuk Harimau Muda A dihadiahkan sepakan penalti.

Fandi Othman yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Suffian Abd. Rahman untuk gol ketiga Harimau Muda A.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, juara bertahan, Selangor bangkit daripada kekalahan pada aksi Sumbangsih, Sabtu lalu apabila berjaya menewaskan tuan rumah, Perlis 2-0.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, skuad bimbingan K. Devan itu memperoleh jaringan pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Sali (63) dan Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-76.

Perlawanan-perlawanan lain yang berlangsung malam tadi menyaksikan T-Team tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan manakala Kedah menang 1-0 ke atas Felda United.

Perak mula mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan Johor FC 1-0 manakala Kuala Lumpur menang 1-0 ke atas Sabah.

Satu-satunya aksi Liga Premier yang berlangsung semalam ialah antara Harimau Muda B menentang SDM Navy. Pada perlawanan itu Harimau Muda B menewaskan SDM Navy 2-1.

0 comments: