Tuesday, February 15, 2011

FAM umum skuad Olimpik


SENARAI 25 pemain untuk kem latihan pusat skuad Olimpik kebangsaan bagi menghadapi Pakistan pada pusingan pertama saingan kelayakan Olimpik 2012 telah diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Mereka terdiri daripada 19 pemain skuad Harimau Muda A serta dua pemain dari skuad Harimau Muda B iaitu D. Saarvindran (19 tahun) dan Nazmi Faiz (17 tahun).

Manakala baki empat pemain dari pasukan negeri iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah).

19 pemain Harimau Muda A yang terpilih itu ialah Zamir Selamat, Izham Tarmizi Roslan, Affize Faisal Mamat, Fadhli Shas, Faizal Muhamad, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim.

K. Gurusamy, V. Kavi Chelvan, Gary Steven Robbat, Abdul Shukur Jusoh, Irfan Fazail, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Ferris Danial Mat Nasir dan A. Thamil Arasu.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia tidak dapat menyenaraikan dua penyerang Harimau Muda A iaitu Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim akibat kecederaan.

“Tapi kita tidak menghadapi masalah kerana kesemua 30 pemain Harimau Muda A serta pemain-pemain dari Harimau Muda B dan beberapa pemain luar yang telah dikenalpasti sudah pun saya daftarkan dalam senarai awal 70 pemain.

“Jadi jika Izzaq atau Syahrul pulih lebih awal daripada sepatutnya, saya tetap boleh senaraikan mereka untuk aksi bertemu Pakistan ini,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kesemua 25 pelatih tersebut akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya petang esok selepas aksi keempat Liga Super berlangsung malam ini.

Hanya Khairul Fahmi dibenarkan melaporkan diri pada Sabtu selepas dia selesai membantu Kelantan bertemu T-Team pada aksi pusingan pertama Piala FA di Kota Bharu pada Jumaat ini.

Skuad negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada Rabu depan sebelum bertandang ke Lahore pada 9 Mac depan.

0 comments: