Friday, February 11, 2011

Rajagobal boleh tidur lena


“SAYA gembira kerana para pemain masih menunjukkan kesungguhan untuk mencipta kemenangan. Ternyata mereka masih mengekalkan mentaliti itu dan terus mempertahankannya. Ini satu perkembangan yang sihat.”

Demikian pengakuan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal setelah menyaksikan anak-anak buahnya meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-43 dan pemain gantian, Amirulhadi Zainal pada masa kecederaan sudah cukup untuk menggembirakan kira-kira 10,000 penyokong setia Harimau Malaya yang hadir ke stadium.

Malaysia kini menduduki ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong di tangga ke-143.

Ia merupakan aksi pertama skuad kebangsaan setelah kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada 29 Disember lalu.

Skuad kebangsaan menguasai separuh masa pertama dan Hong Kong hanya bangkit pada babak kedua menerusi beberapa percubaan ke arah Khairul Fahmi Che Mat yang kemudiannya digantikan dengan Farizal Marlias pada minit ke-58.

“Saya puas hati dengan persembahan pemain. Bukan mudah untuk kita meneruskan rentak di pentas antarabangsa selepas menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

“Kita bermula baik pada babak pertama menerusi beberapa peluang (Safee Sali minit ke-12 dan Mahali Jasuli minit ke-31). Biarpun Hong Kong bangkit pada babak kedua, kita juga mendapat peluang terbaik menerusi rembatan S. Kunanlan (minit ke-65) yang terkena tiang,” jelas Rajagobal.

Semua pemain skuad kebangsaan kini kembali ke pasukan masing-masing untuk menyambung aksi Liga Super sebelum kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi aksi persahabatan seterusnya pada 25 atau 29 Mac depan.

“Kita telah hantar surat kepada beberapa negara untuk cuba memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan setiap bulan.

“Tapi sebenarnya bukan mudah untuk mendapat pasukan. Apa pun, kita cuba untuk mendapatkan satu lagi perlawanan pada Mac atau April,” kata Rajagobal.

Namun beberapa pemain kebangsaan seperti Khairul Fahmi, Mahali, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, K. Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani, Faizal Muhamad dan Izzaq Faris Ramlan akan turun beraksi menentang Pakistan pada pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, 23 Februari depan.

Skuad Olimpik negara yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee membariskan majoriti pemain dari skuad Harimau Muda A serta diperkuat beberapa pemain lain yang masih berusia bawah 22 tahun.

0 comments: