Wednesday, February 23, 2011

Kelayakan Olimpik: Apek terkejut dipilih kapten


PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mendapat suntikan semangat setelah dia dilantik sebagai kapten skuad negara bagi kempen Kelayakan Olimpik 2012.

Khairul Fahmi, 22, yang mesra dipanggil ‘Apek’ bakal memulakan tugas sulungnya itu apabila Malaysia turun berdepan Pakistan pada aksi pertama pusingan pertama di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi penjaga gol skuad Liga Super Kelantan itu, dia akan menjadikan tanggungjawab tersebut sebagai pemangkin semangatnya untuk menampilkan aksi lebih cemerlang dan bertenaga.

“Memang saya agak terkejut apabila jurulatih memberitahu yang saya dilantik sebagai kapten pada tiga hari lepas. Tapi saya bersedia untuk memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin.

“Sudah lama rasanya saya tidak diberi tugas sebagai kapten. Kali terakhir ketika saya beraksi bersama pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Apa pun sebagai kapten untuk kempen Kelayakan Olimpik 2012 ini, saya akan laksanakan tugas dengan baik dan menyampaikan segala arahan diberikan jurulatih,” katanya kepada Kosmo! petang semalam.

Benteng skuad Olimpik kebangsaan tampak begitu mantap kerana Khairul Fahmi akan dibantu tiga tonggak pertahanan skuad Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Mahali Jasuli.

Hanya posisi bek kiri akan diisi Affize Faisal Mamat memandangkan Asraruddin Putra Omar sudah berusia 23 tahun, melebihi had umur bagi Kelayakan Olimpik iaitu 22 tahun.

Menjelaskan pelantikan tersebut, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, Khairul Fahmi dipilih kerana dia kini merupakan pemain contoh di kalangan pemain-pemain muda di negara ini.

“Saya pilih berdasarkan situasi semasa. Bagi saya, Khairul Fahmi memiliki kualiti yang baik sebagai pemimpin dalam pasukan,” kata Kim Swee yang turut melantik Ahmad Fakri Saarani sebagai penolong kapten.

Sebenarnya bagi musim ini, Muslim merupakan kapten skuad Harimau Muda A untuk aksi Liga Super manakala K. Gurusamy bertindak sebagai penolong kapten.

0 comments: