Monday, February 7, 2011

Safee Sali sah sertai Pelita Jaya


PENYERANG utama skuad Liga Super Selangor, Safee Sali sah akan menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya pada 14 Februari depan.

Pengumuman berhubung perkara itu dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad pada satu sidang media khas di Wisma FAS, Kelana Jaya pada jam 2.30 petang tadi.

Sidang media itu turut dihadiri Safee sendiri, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin dan pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan.

Menurut Mokhtar, pihak FAS telah menerima permohonan daripada tiga kelab Indonesia yang cuba mendapatkan Safee dan akhirnya tawaran dibuat Pelita Jaya dianggap yang terbaik.

"Kita tak menggunakan ejen. FAS sendiri bertindak sebagai ejen kepada Safee. Mujur Datuk Hamidin mempunyai hubungan erat dengan pegawai bola sepak di Indonesia.

"Jadi kita telah memilih Pelita Jaya. Kontrak telah disediakan dan majlis menandatanganinya akan diadakan pada Isnin depan (14 Februari) di Indonesia," kata Mokhtar.

Namun FAS tidak mendedahkan berapa jumlah bayaran dikenakan terhadap Pelita Jaya sebagai menebus kontrak Safee bersama Selangor sebenarnya hanya akan berakhir pada November depan.

Menurut Hamidin, pihak FAS dan Pelita Jaya telah bersetuju untuk tidak mendedahkan nilai perpindahan dan juga jumlah gaji yang bakal diterima Safee.

"Safee akan mengikat kontrak selama setahun bersama Pelita Jaya iaitu sehingga 31 Januari 2012.

"Terdapat juga syarat dalam kontrak itu yang menyatakan Safee perlu kembali ke Selangor andai kontraknya bersama Pelita Jaya berakhir nanti.

"Jadi Safee akan beraksi perlawanan terakhirnya bersama Selangor pada Sabtu ini iaitu bertemu Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam.

"Sebagai penghormatan terakhir, Safee akan menjadi kapten pada perlawanan menentang Kuala Lumpur itu yang juga adalah bekas pasukannya," jelas Hamidin.

Di Pelita Jaya nanti, Safee akan turut menyarung jersi No. 10 sama seperti yang dikenakannya sepanjang lima musim bersama Selangor.

Bagi Safee, 27, pula, keputusannya untuk berhijrah ke Liga Indonesia dan menjadi pemain Malaysia pertama beraksi bersama kelab Indonesia sesuatu yang cukup besar demi memajukan kariernya.

"Saya anggap ini satu peluang yang tepat kerana usia saya sudah menjangkau 27 tahun. Kalau saya tak rebut, rasanya saya takkan mendapat peluang seperti ini lagi.

"Saya mempunyai alasan tertentu untuk memilih Pelita Jaya. Dengan bantuan FAS, saya rasa pilihan untuk menyertai kelab ini adalah tepat.

"Memang saya telah serahkan kepada FAS untuk membuat pilihan di antara tiga kelab ini. Saya juga dapati Pelita Jaya sesuai dengan cara permainan saya," kata Safee.

Jelas Safee lagi, dia sudah bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran dan dugaan apabila beraksi di Liga Indonesia kelak.

"Memang saya dah bersedia. Saya dah fikirkan bahawa apabila beraksi di Indonesia, mental perlu kuat dan saya sendiri akan berusaha keras untuk meningkatkan kualiti permainan.

"Sasaran saya ialah untuk membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan liga apabila saingan pusingan kedua bermula bulan depan.

"Sasaran peribadi pula, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berjaya di sana nanti," ujar Safee.

Kelibat Safee mula menjadi perhatian kelab-kelab Indonesia setelah menjadi penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 serta membantu Malaysia muncul juara menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat pada aksi final timbal balik.

Safee akan berlepas ke Indonesia pada Isnin depan dan dijangka bakal beraksi perlawanan sulung bersama Pelita Jaya pada awal bulan depan.

Safee yang dilahirkan di Kajang, Selangor tetapi dibesarkan di Tapah, Perak pada awal kariernya beraksi bersama Kuala Lumpur sebelum dia berhijrah ke Sarawak.

Safee kemudian menyertai Selangor pada penghujung Oktober 2006 untuk saingan Liga M 2006/07 tetapi disebabkan baru menjalani pembedahan ACL pada lutut kirinya, dia tidak dapat diturunkan pada awal musim tersebut.

Penampilan sulung Safee bersama pasukan Selangor ialah pada 24 Mac 2007 apabila dia masuk sebagai pemain gantian dan melakukan hantaran yang disudahkan Akmal Rizal Rakhli untuk gol kedua Selangor ketika menewaskan Pahang 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

Gol sulung Safee bersama Selangor terhasil pada aksi keduanya iaitu ketika bertemu ATM di Stadium Selayang pada pusingan kedua Piala FA pada 27 Mac 2007.

Pada perlawanan tersebut, Safee masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol iaitu gol ketiga dan keempat Selangor untuk menewaskan ATM 4-1.

SUMBER: www.faselangor.my

0 comments: