Wednesday, February 16, 2011

Pameran Kita Juara - Piala Suzuki AFF 2010 di Muzium Negara


PAMERAN 'Kita Juara' sempena kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu kini sedang berlangsung selama sebulan di Muzium Negara sehingga 28 Februari depan.

Petang tadi aku menggunakan sepenuhnya offday pada hari ini untuk melihat sendiri pameran tersebut di ruang legar utama dalam Muzium Negara.

Ia memandangkan aku sebelum ini telah membuat liputan Piala Suzuki AFF 2010 sehingga aksi final kedua di Jakarta, Indonesia.

Selepas membayar RM2 di kaunter masuk, mata aku terus tertumpu ke tengah-tengah hadapan ruang pameran yang mempamerkan trofi Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 yang telah dimenangi penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Lebih membanggakan, di sebelah kanan trofi itu turut diletakkan keratan akhbar Kosmo! yang bertajuk 'Safee tak sangka' yang terpapar di situ byline 'Daripada Wan Fakhrul Wan Bakar'.

Benar, ia merupakan artikel yang aku tulis ketika membuat liputan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember lalu.

Okey lupakan hal itu. Aku terus menjengah ruang sudut pameran dan dapatlah melihat lebih dekat jersi No.22, sarung tangan dan kasut yang dipakai penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, jersi No.10 dan kasut yang dipakai Safee serta jersi No.9 yang dipakai Norshahrul Idlan Talaha.

Turut dipamerkan, trofi Piala Suzuki AFF dan medal juara yang dimenangi para pemain Malaysia. Tapi tak teruja sangat sebab aku dah pun pegang dan bergambar dengan trofi tersebut di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta sehari selepas aksi final kedua.

Cuma aku berasakan pameran di Muzium Negara ini terlalu ringkas dan simple. Sepatutnya di sudut jersi Safee, Norshahrul dan Khairul Fahmi itu diletakkan juga sebuah skrin TV yang memaparkan komen dan kata-kata daripada pemain tersebut. Barulah nampak hidup.

Yang ada hanyalah dua TV LCD di penjuru belakang ruang pameran yang menayangkan sedutan-sedutan aksi skuad kebangsaan sepanjang kejohanan.

Selain itu, aku tak nampak terdapat senarai barisan 22 pemain skuad juara Piala Suzuki AFF 2010. Sepatutnya ia merupakan elemen utama pameran kerana nama 22 pemain ini dan barisan kejurulatihan diketuai K. Rajagobal sepatutnya dicatat dalam sejarah di Muzium Negara.

Akhir sekali, sepatutnya terdapat papan pameran beberapa pemain seperti Safee, Norshahrul, Khairul Fahmi, Safiq dan Muslim Ahmad yang dibuat mengikut skala sebenar supaya para pengunjung dapat bergambar seolah-olah berdiri di sebelah pemain terbabit.

Apa pun, pameran seumpama ini tetap wajar dipuji kerana bukan mudah untuk bergelar juara ASEAN kerana kita terpaksa menunggu selama 14 tahun sebelum dapat juga bergelar JUARA.























Tiga gambar terakhir bukanlah Piala Suzuki AFF tetapi merupakan Piala HMS Malaya, sebelum Piala Malaysia diperkenalkan. Saja ambil gambar tadi di ruang pameran atas.

0 comments: