Wednesday, February 23, 2011

Kelayakan Olimpik: Pakistan tak gentar


TIADA nada gentar dilaungkan Pakistan menjelang pertemuan pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Malaysia di gelanggang lawan malam ini.

Malah jurulatih skuad Olimpik Pakistan, Tariq Lutfi berasa yakin pasukannya mampu mencipta kejutan berdasarkan keputusan baik dicatat mereka sepanjang kem latihan pusat selama dua minggu di Bangkok, Thailand.

“Barisan 19 pemain yang kami bawa ini berada dalam keadaan baik dan semangat mereka cukup tinggi. Insyaallah kami akan beri yang terbaik pada perlawanan esok (malam ini).

“Kami telah bertemu pasukan yang bagus sepanjang kem latihan di Thailand. Tiga perlawanan diatur dan ia ternyata satu pendedahan yang cukup baik buat para pemain kami.

“Memang Pakistan lebih dikenali dengan sukan hoki dan kriket. Tapi sepanjang lima tahun kebelakangan ini, tumpuan terhadap program akar umbi bola sepak sudah dimulakan.

“Ia jelas satu petanda yang baik,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Skuad Pakistan bakal mempertaruhkan dua pemain yang beraksi di luar iaitu penjaga gol, Yousuf Butt yang menyarung jersi kelab Denmark, Birkerod IF Skjold dan pemain tengah, Irfan Khan yang beraksi bersama Bradford Park Avenue AFC di England.

“Saya harap dua pemain ini dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk pasukan dan setakat ini mereka cukup membantu dalam memperkukuhkan pasukan,” ujar Tariq.

Ditanya adakah dia melakukan apa-apa kajian terhadap corak permainan Malaysia, pengendali berusia 60 tahun itu secara berseloroh berkata: “Memang saya ada buat sedikit. Tapi tidaklah seperti membuat kajian Ph.D (Ijazah Doktor Falsafah).”

KESEBELASAN KEMUNGKINAN PAKISTAN:
Yousuf Butt, Manzoor Ahmed, Alamgir Khan, Ahsan Ullah, Faisal Iqbal, Jadeed Khan Pathan, Rizwan Asif, Ansar Abbas, Mahmood Khan, Irfan Khan, Kalim Ullah.

0 comments: