Saturday, February 12, 2011

NS Betaria mahu kuasai Liga FAM

SAINGAN liga divisyen tiga kebangsaan, Liga FAM 2011 bakal memulakan aksinya esok dengan menampilkan penyertaan 11 buah pasukan.

Ia membabitkan empat pasukan musim lalu iaitu KL Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Melodi Jaya, MBJB dan UiTM serta dua pasukan tercorot Liga Premier musim lalu, Melaka dan Shahzan Muda.

Baki lima lagi slot diisi pendatang baru iaitu NS Betaria, Tentera Darat, Kor RAMD, TUDM Hornet dan KL Rapid.

Bagi NS Betaria, mereka memasang hajat besar untuk meraih dua tempat teratas sekali gus dinaikkan ke saingan Liga Premier musim depan.

Jurulatih NS Betaria, Hamdan Ibrahim berkata, skuad yang diuruskan bekas pemain kebangsaan, B. Rajanikadhn itu mempunyai fokus mencapai sasaran tersebut tetapi pada masa sama mengetahui cabaran yang bakal dihadapi.

“Ketika saya membimbing Ban Hoe Leong (BHL) pada aksi Liga FAM dua tahun lepas, saingan tidaklah begitu kompetitif apabila terdapat jurang kelompok pasukan atasan dan bawahan.

“Tapi untuk musim 2011 ini, saya lihat saingan bakal menjadi lebih kompetitif kerana disertai 11 buah pasukan dan kesemua pasukan tampak bersemangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Hamdan, NS Betaria diperkuat beberapa pemain berpengalaman seperti Cik Hishamudin Hassan (Kelantan), Hardy Ahmad (Felda United), Faizal Yusof (Pulau Pinang) dan K. Sathian (Negeri Sembilan).

Malah seorang lagi pemain mereka iaitu Azari Derma Raju merupakan adik kepada pemain pertahanan Selangor, Yosri Derma Raju.

“Kami harap dapat mencuri tiga mata penuh apabila bertemu KL SPA di Bangi pada Ahad ini (esok) sebelum turun aksi sulung tempat sendiri bertemu Melaka di Stadium Tampin pada 27 Februari depan,” ujar Hamdan.

Musim lalu, Sime Darby muncul juara manakala SDM Navy di tempat kedua. Mereka kini beraksi di Liga Premier.


JADUAL
LIGA FAM 2011

(ESOK)

TUDM HORNET lwn MELODI JAYA
Stadium Mini Jugra, Banting, 4.45 ptg

KL SPA lwn NS BETARIA
Stadium Permata Petronas, Bangi, 4.45 ptg

MELAKA lwn KOR RAMD
Stadium Hang Tuah, Melaka, 4.45 ptg

UiTM lwn TENTERA DARAT
Stadium UiTM, Shah Alam, 4.45 ptg

SHAHZAN MUDA lwn KL RAPID
Stadium Temerloh, Pahang, 8.45 mlm

0 comments: