Wednesday, February 23, 2011

Kelayakan Olimpik: Kim Swee buru kemenangan besar


MALAYSIA perlu mencatat kemenangan besar ke atas Pakistan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam ini sebagai bekalan selesa untuk aksi kedua di Lahore, 9 Mac depan.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, para pemain sudah bersedia untuk turun dengan aksi terbaik mereka bagi merealisasikan objektif tersebut.

“Sudah tentu kita mahukan kemenangan pada aksi pertama di gelanggang sendiri ini. Tapi kita mahukan satu kemenangan yang selesa.

“Jadi kita akan cuba sedaya upaya. Jika perlu memasukkan lebih ramai pemain serangan, kita akan lakukannya.

“Saya mahu pemain fokus memikirkan apa yang perlu dilakukan esok (malam ini) berbanding terlalu memikirkan apa yang Pakistan lakukan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Menurut Kim Swee, tugas untuk mencari gol pastinya terletak di bahu gandingan penyerang, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani sambil dibantu pemain-pemain lain.

“Selain Shakir dan Fakri, pemain-pemain seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman dan Ferris Danial Mat Nasir juga mampu menjaringkan gol.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita menembusi gawang Pakistan kerana para pemain kini sudah bersedia sepenuhnya,” jelas pengendali berusia 41 tahun itu.

Skuad Olimpik kebangsaan tampak mantap dengan dibarisi tujuh pemain skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Faizal Muhamad, K. Gurusamy dan Faizal Abu Bakar.

Malaysia malam ini bakal turun dengan memakai jersi utama berwarna kuning hitam.

KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:
Khairul Fahmi Che Mat (kapten), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Irfan Fazail, Fandi Othman, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Shakir Md. Ali.


JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(HARI INI)

MALAYSIA lwn PAKISTAN
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm
(Siaran langsung Astro Arena 801)

* Perlawanan kedua di Lahore, Pakistan pada 9 Mac.

INFO TIKET:

- RM20 dewasa & RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun.
- Tiket dijual di Wisma FAM, Kelana Jaya (9 pagi hingga 4 petang) dan di pintu utama Stadium Shah Alam bermula pukul 4 petang.

1 comments:

ayop selatan said...

fokus pada kemenangan....
pasti yakin....

February 23, 2011 at 2:59 PM