Liga Super 2011: Selangor tetap garang
JUARA bertahan, Selangor yang turun pertama kali tanpa Safee Sali tetap garang apabila berjaya menewaskan Terengganu 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Hasrat jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim untuk menambah derita Selangor selepas pemergian Safee ke Pelita Jaya tidak kesampaian malah ia telah memakan diri.
Selangor mendahului selesa 3-0 menerusi jaringan voli Fadzli Saari pada minit ke-17, Amri Yahyah (47) dan Azidan Sarudin (57).
Namun kelekaan anak-anak buah K. Devan itu menyaksikan Terengganu berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Ashari Samsudin pada minit ke-70 dan jaringan Abdul Hadi Yahaya (87).
Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak ke tangga keempat dengan tujuh mata.
Sementara itu, Kelantan terus kekal di tangga teratas dengan mengumpul 10 mata setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Gol-gol skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu dijaringkan Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-47 dan Norshahrul Idlan Talaha (87).
Perak kekal di tangga kedua dengan lapan mata setelah mengikat Kedah 0-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pula, hasrat skuad Perlis bimbingan Mostakeen Omar mencatat kemenangan sulung musim ini tidak kesampaian setelah sekadar seri 1-1 dengan Harimau Muda A.
Skuad Olimpik negara itu turun tanpa tiga tonggak utama iaitu penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, Irfan Fazail dan S. Sivanesan yang direhatkan bagi mengelak kecederaan menjelang aksi bertemu Pakistan Rabu depan.
Perlis memperolehi gol pertama pada minit ke-74 menerusi rembatan jarak jauh Faiz Subri yang menewaskan Zamir Selamat.
Namun Perlis terpaksa beraksi sembilan pemain setelah Sany Mat Isa dan Munawwar Shavukath Ali masing-masing diarah keluar padang setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-78 dan 88.
Kesempatan itu digunakan anak-anak buah Ong Kim Swee untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 menerusi Gary Steven Robbat.
Dengan keputusan seri itu, Harimau Muda A kekal di tangga ketiga dengan tujuh mata.
Felda United pula melonjak ke tangga kelima selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 hasil jaringan Abdul Ghani Abdul Rahman pada minit ke-89 di Paroi.
Dua lagi perlawanan menyaksikan Sabah tewas 0-1 kepada Johor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu manakala Pahang menewaskan T-Team 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
0 comments:
Post a Comment