Langkah Safee bermula
BEKAS penyerang Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam untuk memulakan kariernya sebagai pemain import kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya.Menurut Safee, 27, dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi cabaran baru beraksi di liga luar setelah lapan musim beraksi di Liga Malaysia sejak 2003.
Selain cabaran hebat dalam saingan ISL, Safee turut perlu menghadapi cabaran di luar padang iaitu media Indonesia yang seringkali dianggap cukup ekstrim.
“Saya sudah bersedia. Sebab itulah saya memilih Zakaria Ab. Rahim sebagai pengurus peribadi untuk beliau membantu saya dalam menghadapi media di sana (Indonesia).
“Saya juga cuba elakkan keluarga saya menjadi tumpuan.
“Tapi jika mereka tetap ekstrim berhubung perkara itu, saya perlu menyiapkan diri untuk menghadapinya,” kata Safee ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.
Turut mengiringi pemergian Safee ke Jakarta ialah bapanya, Mohd. Sali Mian, ibunya, Maripah Hussain, isterinya, Sabarina Yusof, dua anaknya, Nur Syaza Syaqina dan Nur Syasya Sofirna serta Zakaria.
Safee yang bakal turun beraksi untuk perlawanan pertama pusingan kedua ISL menentang Persib Bandung pada 7 Mac depan berkata, dia akan berusaha keras bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pelita Jaya.
“Pelita Jaya membariskan ramai pemain muda kerana konsep kelab ini lebih kepada pembangunan. Jadi, kehadiran saya ini dianggap sebagai ikon.
“Selain menyasarkan nisbah satu gol setiap perlawanan, saya juga berharap dapat membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan dalam liga,” jelasnya.
Pelita Jaya kini menghuni tangga tercorot di kalangan 15 pasukan yang beraksi di ISL selepas tamat saingan pusingan pertama.
Safee mengikat kontrak selama setahun sehingga 31 Januari 2012 bersama Pelita Jaya.
Sudah dua tahun dia pendam hajat - Sabarina
“SUDAH dua tahun sebenarnya dia meluahkan keinginan untuk beraksi di liga luar. Sebab itulah apabila mendapat tawaran, dia begitu teruja untuk pergi.”
Demikian pendedahan Sabarina Yusof, 29, isteri kepada Mohd. Safee Mohd. Sali berhubung impian dan cita-cita suaminya itu yang sudah dipendam sejak tahun 2009 lagi.
Pada ketika itu, Safee tidak mendapat mana-mana tawaran untuk merealisasikan hajatnya itu.
Namun setelah muncul penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember lalu, Safee terus menarik perhatian tiga kelab Indonesia serta sebuah kelab Vietnam untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun semalam, penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu sah menjadi pemain kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya.
Menurut Sabarina yang berkahwin dengan Safee pada tahun 2007, dia akan terus memberi sokongan terhadap karier suaminya itu dan berharap mereka sekeluarga selamat berada di Indonesia.
“Pada mulanya memang saya suruh dia berfikir panjang berhubung hajatnya mahu beraksi di Indonesia kerana kami perlu memikirkan soal keselamatan keluarga.
“Tapi apabila dia tetap nekad untuk pergi memenuhi impian dan cita-citanya, kami sekeluarga tidak menghalang dan dia pun memang dari awal mahu membawa keluarga bersama.
“Lagipun kedua-dua anak kami, Nur Syaza Syaqina (3 tahun) dan Nur Syasya Sofirna (1 tahun) pasti demam jika ayah mereka pergi beraksi perlawanan di tempat lawan.
“Jadi harap dengan keluarga di sisi, dia dapat memberi tumpuan penuh terhadap kariernya di Indonesia,” jelas Sabarina yang berasal dari Sarawak.
‘Minat Safee hanya bola’
SEJAK dari kecil lagi, minat penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali hanyalah terhadap bola sepak.
Bapanya, Mohd. Sali Mian berkata, anak kelapan daripada 12 beradik itu seorang yang pendiam dan tidak akan keluar rumah kecuali untuk bermain bola sepak.
“Safee memang pendiam. Kalau orang tanya, barulah dia bercakap. Tapi setiap pagi dan petang, dia pasti akan keluar untuk bermain bola sepak.
“Tak cukup itu, malam pula dia akan bermain bola sepak di dalam rumah. Begitulah rutin hariannya.
“Tapi saya memang tak sangka dia akan sampai ke tahap seperti ini dan harap dia akan memperoleh kejayaan apabila memulakan karier di Indonesia,” kata Mohd. Sali.
Mohd. Sali, 64, dan isterinya, Maripah Hussain, 61, turut berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam untuk membantu Safee menyesuaikan diri dengan suasana di tempat baru.
“Sebagai permulaan, saya dan isteri ikut sama mungkin sehingga Safee beraksi perlawanan pertama. Tapi andai kata keadaan memerlukan, mungkin saya perlu lebih lama berada di sana,” jelas Mohd. Sali.
Bekas anggota polis itu turut menceritakan bahawa Safee sebenarnya mempunyai seorang adik, Mohd. Norli yang hanya beza usia setahun dengannya yang turut sama-sama handal bermain bola sepak.
“Memang dari kecil, dua beradik ini mewakili sekolah, daerah dan negeri. Cuma Norli agak malang tidak dapat meneruskan karier profesional setelah menjalani pembedahan lutut ketika dia beraksi di peringkat Piala Presiden,” ujarnya.
Safee, 27, dilahirkan di Kajang ketika Mohd. Sali bertugas di Cheras. Selepas pencen, dia pulang ke kampung halamannya di Tapah, Perak dan membuka sebuah gerai makan berhampiran rumahnya.
Zakaria bantu Safee di Indonesia
NAMA Zakaria Ab. Rahim sebelum ini cukup dikenali sebagai pengurus pasukan skuad Liga Super Selangor sejak Jun 2008 hingga Disember 2009.
Kini, Zakaria kembali tetapi bukan lagi bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebaliknya bertindak sebagai pengurus peribadi kepada penyerang baru Pelita Jaya, Mohd. Safee Mohd. Sali.
Menurut Zakaria, perkara pertama yang menjadi keutamaannya sebaik memulakan langkah di Indonesia semalam ialah memikat pihak media di negara jiran itu.
“Di Indonesia cukup mudah. Selagi seseorang pemain itu mempamerkan prestasi baik dan menunjukkan sikap mesra, dia akan dihormati serta diminati ramai tak kira kawan atau lawan.
“Ternyata sanjungan terhadap seseorang pemain di Indonesia cukup hebat. Jadi Safee perlu sentiasa mengekalkan tahap persembahan dan kecergasannya sepanjang baki 13 perlawanan yang perlu dihadapi Pelita Jaya.
“Sasaran Safee ialah untuk membawa Pelita Jaya ke kedudukan lebih baik daripada tangga tercorot ketika ini dan jika berjaya, Safee tidak akan menghadapi masalah di Indonesia.
“Malah dia juga akan disanjung pula oleh peminat-peminat di Indonesia,” kata Zakaria ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam.
Zakaria turut menjelaskan bahawa dia bukanlah ejen yang terlibat dalam urusan perpindahan Safee dari Selangor ke Pelita Jaya sebaliknya hanya berperanan sebagai pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier pemain itu.
“Memang ketika menjadi pengurus Selangor sebelum ini, saya telah berusaha untuk mendapatkan tempat di kelab luar buat Safee. Tapi perpindahan ke Pelita Jaya ini diuruskan sendiri oleh FAS dan tiada ejen terlibat.
“Peranan saya lebih kepada menjaga Safee untuk berhadapan dengan pihak media supaya dia tidak terjebak dengan kontroversi serta menjaga hubungannya dengan para penyokong dan peminat.
“Kita juga mahu menjadikan Safee sebagai pemain yang benar-benar profesional iaitu dengan mendapatkan ruang untuk dia menjadi duta produk dan mendapat tajaan peribadi,” jelas Zakaria.
0 comments:
Post a Comment