Saturday, February 12, 2011

Sultan Ahmad Shah calon Presiden AFF


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Worawi Makudi telah dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Kerusi Presiden AFF kosong setelah penyandangnya sejak tahun 1996, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail tidak berhasrat untuk terus mempertahankan jawatan tersebut untuk pemilihan kali ini.

Justeru dua calon telah dicadangkan untuk menjadi Presiden AFF yang baru iaitu Sultan Ahmad Shah yang mendapat pencalonan daripada FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) manakala Worawi yang dicalon sendiri oleh FAT.

Berdasarkan reputasi, Sultan Ahmad Shah dianggap sebagai calon lebih layak berdasarkan pengalamannya sebagai Presiden FAM sejak 1984 serta pernah menjadi Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain itu, anggota-anggota AFF turut dikhabarkan lebih cenderung untuk memilih Sultan Ahmad Shah kerana yakin baginda mampu membawa AFF ke tahap yang lebih tinggi.

Namun keputusan hanya akan diketahui ketika apabila pemilihan tersebut berlangsung pada Kongres AFF yang dijadualkan bakal berlangsung di Bangkok, Thailand pada 10 April depan.

AFF ditubuhkan pada 31 Januari 1984 dan sekretariatnya terletak di Jalan SS 3/76, Kelana Jaya, Selangor.

0 comments: