Thursday, June 10, 2010

Rajagobal gugurkan tiga pemain ke Turki

PEMAIN pertahanan Terengganu, Muhaimin Omar menjadi pemain terakhir diketepikan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal daripada senarai 24 pemain yang berlepas ke Antalya, Turki malam tadi.

Dua lagi pemain yang terpaksa digugurkan Rajagobal ialah penyerang Terengganu, Ashaari Shamsuddin dan pemain tengah Harimau Muda, K. Gurusamy.

Menurut Rajagobal, pada mulanya dia telah menggugurkan Faizal Abu Bakar selepas sesi latihan terakhir pagi semalam tetapi terpaksa menyenaraikan semula penyerang Kedah itu setelah Muhaimin disahkan mengalami kecederaan.

“Selepas sesi latihan terakhir pagi tadi (semalam), saya telah putuskan untuk mengetepikan Faizal. Tapi perubahan terpaksa dibuat kerana Muhaimin tidak dapat ke Turki akibat kecederaan.

“Ashaari pula terpaksa pulang serta merta ke Terengganu kerana datuknya mengalami kemalangan serius manakala Gurusamy mengalami kecederaan otot paha semasa latihan,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Terdahulu ketika kem latihan pusat skuad kebangsaan dibuka pada Jumaat lalu, hanya 27 daripada 30 pelatih turun menjalani latihan penuh setelah tiga pemain, Ahmad Fakri Saarani, V. Thirumurugan dan S. Harivarman diketepikan akibat kecederaan.

Sepanjang latihan selama 10 hari di Antalya, Turki nanti, skuad kebangsaan akan menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang dua kelab Rusia, Alania Vladikavkaz (13 Jun) dan Terek Grozny (16 Jun) serta kelab Moldova, Sheriff Tiraspol (19 Jun).

“Kita juga melihat keperluan untuk mengadakan perlawanan keempat menentang kelab Azerbaijan, Inter Baku. Tapi ia bergantung sama ada pasukan kita memiliki cukup rehat dan masa di sana nanti,” tambah Rajagobal.

Daripada 24 pemain dibawa ke Turki, hanya tujuh pemain berstatus senior iaitu Farizal Marlias, Sharbinee Allawee Ramli, Norhafiz Zamani Misbah, Azmi Muslim, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali manakala selebihnya berusia 23 tahun dan ke bawah.

INFO:

JADUAL PERLAWANAN PERSAHABATAN SKUAD BOLA SEPAK KEBANGSAAN DI ANTALYA, TURKI

(13 JUN)
MALAYSIA lwn ALANIA VLADIKAVKAZ

(16 JUN)
MALAYSIA lwn TEREK GROZNY

(19 JUN)
MALAYSIA lwn SHERIFF TIRASPOL

SENARAI 24 PEMAIN:

PENJAGA GOL: Farizal Marlias, Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat.

PERTAHANAN: Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Muslim Ahmad, Khairul Helmi Johari, Sabre Mat Abu, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim.

TENGAH: Safiq Rahim, Bunyamin Umar, Amar Rohidan, Mahali Jasuli, S. Kunanlan, Khyril Muhymeen Zambri, Baddrol Bakhtiar, Faizal Abu Bakar.

PENYERANG: Safee Sali, Zaquan Adha Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Shakir Md. Ali, Izzaq Faris Ramlan.

0 comments: