Thursday, June 10, 2010

Real Madrid tak jadi datang


IMPIAN untuk melihat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid yang dibimbing jurulatih baru, Jose Mourinho beraksi menentang skuad kebangsaan Malaysia bimbingan K. Rajagobal di Kuala Lumpur tidak kesampaian.

Ini kerana perlawanan tersebut sempena jelajah Real ke Asia terpaksa dibatalkan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai dana mencukupi untuk menanggung kos perlawanan tersebut yang agak tinggi.

Football Asia selaku ejen tempatan kelab tersebut memberitahu, pertemuan mereka dengan FAM bagi membincangkan projek tersebut telah berlangsung Jumaat lalu selepas FAM terlebih dahulu sebelum itu diberitahu tentang syarat serta jumlah bayaran perlawanan.

“Kos untuk menganjurkan perlawanan ini dianggap sebagai di luar kemampuan kewangan pihak FAM.

“Dengan tempoh waktu yang suntuk untuk mendapatkan wang tajaan sama ada daripada sektor awam atau swasta, FAM dengan berat hati terpaksa menolak peluang untuk menganjurkan perlawanan tersebut,” kata kenyataan Football Asia semalam.

Pada 26 Mei lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, pihaknya baru saja menerima pelawaan awal daripada sebuah syarikat penganjuran acara sukan dari Singapura untuk mengadakan perlawanan menentang Real di Kuala Lumpur.

Mengikut perancangan, Real sepatutnya berada di ibu negara antara 14 hingga 21 Ogos depan tetapi dengan perkembangan terbaru semalam, maka tiada kelibat Cristiano Ronaldo, Kaka, Gonzalo Higuain, Xabi Alonso, Iker Casillas atau Raul di Kuala Lumpur.

0 comments: