Thursday, November 4, 2010

Rajagobal umum senarai 20 pemain ke Sukan Asia 2010


KEPINCANGAN di bahagian pertahanan memaksa jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk memilih Norhafiz Zamani Misbah dalam senarai terakhir skuad negara yang akan menggalas cabaran pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan.

Norhafiz adalah antara tiga pemain melebihi umur yang disenaraikan oleh Rajagobal dalam skuad tersebut.

Dua lagi ialah Norshahrul Idlan Talaha dan S. Kunanlan.

Turut disenaraikan ialah sembilan pemain Harimau Muda A iaitu penjaga gol, Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman dan Izzaq Faris Ramlan.

Baki lapan pemain lain pula terdiri daripada penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S. Chanturu, Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani.

“Tiga pemain senior yang saya pilih ini adalah berdasarkan keperluan posisi. Norshahrul telah membuktikan bahawa dia merupakan penyerang terbaik manakala Kunanlan pula telah mempamerkan prestasi yang konsisten.

“Norhafiz pada mulanya tiada dalam perancangan ke Sukan Asia. Tapi selepas masalah kecederaan melanda beberapa pemain pertahanan, saya perlukan seorang pemain berpengalaman di situ,” kata Rajagobal pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Dengan pengumuman tersebut, enam baki pemain senior lain iaitu Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Ashaari Shamsuddin, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Azmi Muslim hanya akan ditagih khidmat mereka untuk saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta awal bulan depan.

Bagi saingan Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan bertemu Kyrgyzstan pada perlawanan pertama Isnin depan diikuti pertemuan dengan Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).

“Secara jujurnya, kita sudah tahu Jepun dan China bakal menduduki dua tangga teratas jika berdasarkan sejarah dan kekuatan mereka. Kita pula tanpa ramai tonggak utama yang cedera.

“Sama seperti Sukan SEA 2009, saya tak letak apa-apa sasaran. Cuma yang penting, kita perlu pastikan satu keputusan positif pada perlawanan pertama bagi menentukan hala tuju seterusnya,” jelas Rajagobal.

Sembilan pemain yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan ialah Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Bunyamin Umar, Sharbinee, Farizal dan Azmi.

Namun bagi pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal pula, dia tetap berkeyakinan skuad kebangsaan mampu berada antara 16 pasukan ke pusingan kedua dengan sekurang-kurangnya menerusi slot empat pasukan tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan.



Tengku Abdullah mahu program berterusan


“JANGAN program ini sekadar dilakukan secara ad hoc (tanpa perancangan awal) tetapi ia perlulah dilakukan secara berterusan dengan perancangan rapi untuk tempoh 10 hingga 20 tahun.”

Demikian pesan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan Akademi Bola Sepak Negara di Kuantan, Pahang memberi pulangan lumayan kepada pembangunan bola sepak negara.

“Dengan kewujudan akademi bola sepak ini, ia tidak bermakna kita akan mengubah program sedia ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tetapi ia bakal menjadi pelengkap kepada program pembangunan akar umbi di negara ini.

“Kita perlu laksanakan program ini secara berterusan demi kepentingan skuad kebangsaan. Jika gagal dilaksanakan dengan baik, ia tidak bagus untuk perkembangan skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jersi baru skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Tengku Abdullah juga berharap agar pihaknya dapat mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengetahui dengan jelas apakah perancangan yang ingin dilakukan di akademi bola sepak tersebut.

“Mungkin juga road map (pelan dasar) program ini sedikit sebanyak sama dengan yang pernah dibuat Robert Alberts (bekas Pengarah Teknikal FAM). Tapi kita akan berbincang dengan pihak kementerian untuk memperkukuhkan program di akademi ini nanti,” jelasnya.

Ditanya pula tentang reka bentuk jersi baru skuad kebangsaan, Tengku Abdullah ringkas berkata: “Nampak cantik. Tapi yang penting jenamanya (Nike) dan juga mottonya iaitu Just Do It.”

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Menaha Nadaraja berkata, jersi baru itu akan mula berada di pasaran pada Isnin depan dengan harga RM199 sehelai.

“Memang kami mendapat maklum balas jersi sebelum ini terlalu mahal (RM259). Tapi kita tak boleh jual terlalu murah kerana ini adalah jersi skuad kebangsaan, tarafnya patut sama dengan jersi negara lain seperti Brazil dan Korea Selatan,” kata Menaha.

Namun, menurut Menaha, skuad kebangsaan akan terus menggunakan jersi lama untuk saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou minggu depan dan jersi baru hanya akan mula dipakai pada Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember depan.

0 comments: