Wednesday, November 3, 2010

Persahabatan bola sepak: Malaysia 4 Maldives 0


SKUAD bola sepak kebangsaan menang besar 4-0 ke atas Maldives pada perlawanan ujian terakhir petang semalam sebelum mereka berangkat ke Guangzhou, China Jumaat ini bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010 bermula Isnin depan.

Namun pada aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menerima satu lagi episod malang setelah pemain pertahanan tengah, Nasriq Baharom pula mengalami kecederaan agak serius pada penghujung perlawanan.

Ia sekali gus bakal melengkapkan senarai 10 pemain yang tidak akan ke Guangzhou akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim, Bunyamin Umar, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Gary Steven Robbat.

“Inilah situasi paling sukar yang terpaksa saya hadapi. Saya tak tahu kenapa semua ini berlaku pada saat kritikal ini. Tapi saya tetap perlu optimis dan berfikiran positif.

“Mungkin ada rezeki lain yang Tuhan akan beri di sebalik segala masalah ini. Dengan ini juga, kita pasti akan beri tumpuan lebih terhadap persiapan pasukan dengan baki pemain yang ada,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.

Malaysia mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-10 dan S. Chanturu pada minit ke-35 sebelum dua lagi jaringan diperolehi pada babak terakhir menerusi Ahmad Fakri Saarani (79) dan Amirulhadi Zainal (80).

Khairul Fahmi Che Mat yang baru diumum sebagai Penjaga Gol Terbaik 2010 membuktikan dirinya memang layak apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti pemain Maldives pada minit ke-86.

Sementara itu, Rajagobal berkata, dia hanya akan mengumumkan senarai 20 pemain terakhir ke Sukan Asia pada petang ini setelah mengadakan perbincangan terakhir bersama dua pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas.

“Sekarang kita boleh lihat keadaan kritikal pada posisi pertahanan pula sedangkan sebelum ini saya lebih beri tumpuan untuk menyenaraikan pemain lebih umur (23 tahun) di posisi serangan.

“Kalau dalam syarat diletakkan bahawa jurulatih boleh didaftarkan sebagai pemain, sudah tentu saya sendiri akan turun sebagai pemain pertahanan,” ujar Rajagobal yang sempat berseloroh bagi menghilangkan kerisauannya.

Berhubung situasi terkini itu, slot tiga pemain lebih umur itu dijangka bakal diisi oleh dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali serta tonggak pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah.

Manakala tiga lagi pemain lebih umur yang ada dalam skuad iaitu Ashaari Shamsuddin, Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan mungkin terpaksa diketepikan untuk Sukan Asia sebelum kembali disenaraikan untuk Piala AFF Suzuki 2010, bulan depan.

0 comments: