Monday, October 12, 2009

Siapa ke suku akhir Piala Malaysia?


ADA yang kata enam pasukan sudah layak. Ada kata lima, ada kata empat dan ada kata baru dua pasukan yang telah sah layak ke suku akhir Piala Malaysia 2009.

Pada pandangan aku pula, baru empat pasukan sebenarnya yang sudah layak iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan KL Plus.

Kelantan sudah sah akan mengisi slot Juara Kumpulan E dan akan bertemu Juara Kumpulan A sama ada KL Plus atau Perlis.

Selangor pula sah mengisi slot Juara Kumpulan D dan akan berdepan sama ada Naib Juara Kumpulan A, E, B atau C pada suku akhir nanti.

Negeri Sembilan walaupun sudah layak tapi mereka masih belum pasti sama ada akan mengisi slot Juara Kumpulan B atau naib juara memandangkan Terengganu masih boleh memintas mereka andai berjaya menewaskan Negeri Sembilan biarpun 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan malam esok.

KL Plus juga sudah sah layak tetapi jika mereka mahu mengelak bertemu Kelantan pada suku akhir, mereka boleh memilih untuk tewas kepada Perlis pada perlawanan terakhir malam esok dan layak selaku Naib Juara Kumpulan A untuk bertemu sama ada Juara Kumpulan D (Selangor), Juara Kumpulan C (Johor FC/Perak) atau Juara Kumpulan B (Negeri Sembilan/Terengganu).

Itu cerita empat pasukan yang sudah layak. Maka empat lagi slot masih kosong yang menjadi rebutan tujuh pasukan iaitu Perlis, Terengganu, Johor FC, Perak, KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang.

Melihat ramalan kasar, pemenang tempat kedua dari Kumpulan D dan E bakal tersingkir daripada menjadi tiga pasukan terbaik tempat kedua untuk layak ke suku akhir.

Bagi Kumpulan D, KM Naza kini berkedudukan tidak layak sebagai tiga pasukan terbaik tempat kedua kerana hanya mengumpul 9 mata. Jika mereka menang ke atas Selangor malam esok, KM Naza akan mengumpul 12 mata dan perlu mengharapkan Perlis (10 mata) tewas kepada KL Plus atau Perak (10 mata) tewas kepada Johor FC. Namun jika KM Naza sendiri tewas kepada Selangor, mereka sah tersingkir.

Kedah pula, selaku juara bertahan tiada pilihan lain kecuali menewaskan Pulau Pinang pada perlawanan terakhir malam esok untuk mengumpul 10 mata. Hanya jika KM Naza tewas kepada Selangor serta salah satu pasukan ini, Perlis atau Perak tewas malam esok, barulah Kedah akan layak ke suku akhir. Itupun jika perbezaan gol memihak kepada mereka. Satu misi mustahil buat Kedah.

Cara yang sama juga perlu dilakukan Pulau Pinang yang kini berkongsi 7 mata dengan Kedah dalam Kumpulan E jika mereka berhasrat ke suku akhir. Mereka perlu menang besar ke atas Kedah malam esok.

Berbanding laluan sukar buat KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang itu, empat pasukan lain yang memburu baki empat slot itu dilihat lebih mudah laluan mereka iaitu Perlis, Terengganu, Johor FC dan Perak. Namun dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku.

Sesungguhnya, kita tidak perlu terlalu pening untuk mencari tiga pasukan terbaik tempat kedua daripada lima kumpulan ini jika FAM bijak membuat format Piala Malaysia musim ini. Kenapa tidak gunakan saja format 16 pasukan dibahagi kepada empat kumpulan dan mengapa perlu diambil 20 pasukan yang dipecahkan kepada lima kumpulan, satu angka yang ganjil.

Tindakan menyenaraikan pasukan-pasukan lemah dalam saingan Liga Perdana sebelum ini seperti Melaka, Sarawak dan ATM serta pasukan bermasalah, UPB-MyTeam ke dalam saingan Piala Malaysia musim ini sekadar membuang masa kerana mereka ini gagal mencapai satu kemenangan pun.


KEDUDUKAN SELEPAS LIMA PERLAWANAN:

KUMPULAN A: KL Plus (13), Perlis (10), Pahang (3), Melaka (1).

KUMPULAN B: N.Sembilan (15), Terengganu (12), Johor (3), Sarawak (0).

KUMPULAN C: Johor FC (12), Perak (10), KL (5), MyTeam (1).

KUMPULAN D: Selangor (13), KM Naza (9), PDRM (4), Sabah (3).

KUMPULAN E: Kelantan (12), Kedah (7), P.Pinang (7), ATM (2).


JADUAL SUKU AKHIR (20 Okt & 24 Okt):

Juara A lwn Juara E
(KL Plus/Perlis) lwn (Kelantan)

Juara B lwn Naib C/D/A/E
(N.Sembilan/Terengganu) lwn (Perak/Johor FC)(KM Naza)(Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)

Juara C lwn Naib D/A/E/B
(Johor FC/Perak) lwn (KM Naza)(Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)(Terengganu/N.Sembilan)

Juara D lwn Naib A/E/B/C
(Selangor) lwn (Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)(Terengganu/N.Sembilan)(Perak/Johor FC)

3 comments:

Lelaki Sabah said...

apa crita ngan nasib sabah..tak kan sangkut di peringkat kumpulan je....

October 12, 2009 at 11:34 PM
Wan Fakhrul Wan Bakar said...

mus...bila tiada nama sabah aku sebut dlm nukilan aku tu,maka secara automatik sabah tidak layak ke suku akhir.hehe.takpe,boleh cuba lagi tahun depan..tp teringat zaman2 kegemilangan sabah dulu...

October 13, 2009 at 9:46 AM
rizal hashim said...

Sabah berpaut pada memori silam! Anyway Wan Fakhrul, FAM harus ubah format. Tidak boleh nak sedapkan hati semua. Mengarut! Musim depan buat 12 team pun tak pe bagi kepada empat kumpulan, jadi top two terus ke separuh akhir. Kalau tidak macam cadangan saudara, 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan. Jawatankuasa pertandingan kenalah guna akal sikit.

October 14, 2009 at 8:08 AM