Kuala Lumpur: Aku, rumah & stadium
INILAH kisah mengenai aku, rumah dan stadium. Sejak kecil lagi, aku begitu gilakan bola sepak bermula ketika aku berusia sembilan tahun (darjah 3) pada tahun 1991 sehinggalah ke hari ini apabila usiaku sudah mencecah 27 tahun.
Namun ketika itu, tiada siapa yang mahu membawa aku menonton perlawanan bola sepak di stadium. Jadi aku hanya mampu menonton perlawanan bola sepak jika ada siaran langsung di kaca televisyen.
Jika tiada siaran langsung, hanya radio menjadi peneman aku untuk mendapatkan keputusan perlawanan Liga Malaysia dengan rancangan Arena Sukan setiap pukul 10 malam di Radio 1 (kini dikenali sebagai Klasik Nasional) menjadi segmen yang pasti ditunggu aku pada setiap malam berlangsungnya perlawanan.
Hanya pada tahun 1997, ketika aku di tingkatan 4 barulah dapat merasai nikmat menonton perlawanan bola sepak di stadium dengan perlawanan sulungku itu melibatkan pasukan Selangor bertemu pasukan Olimpik 2000 di Stadium Shah Alam yang berkesudahan seri 3-3.
Selepas itu, barulah aku kerap pergi menonton aksi bola sepak di stadium dan kini hampir semua stadium di Semenanjung Malaysia sudah pun aku jejaki termasuklah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Mereka yang tidak meminati bola sepak pun pasti tahu lokasi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini jika mereka pernah menikmati hidangan ayam goreng di Restoran KFC ini.
Stadium ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Stadium Cheras, Stadium KLFA, Stadium PBKL dan Stadium KL. Hakikatnya, nama yang tertera di stadium itu sendiri menunjukkan nama rasminya ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Uniknya, stadium ini merupakan satu-satunya stadium di Malaysia yang mempunyai Restoran KFC di dalam bangunannya selain Stadium Darul Aman, Alor Setar yang turut mempunyai Restoran KFC tetapi di bangunan berlainan yang terletak berhampiran stadiumnya.
Jadi dengan lokasinya yang begitu strategik, terletak di tepi jalan utama ditambah pula kemudahan Restoran KFC dan berhadapan saja dengan Pusat Perubatan UKM, pastinya Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini bolehlah disifatkan sebagai kompleks sukan yang mesra pengguna.
Pemain import MPPJ Selangor, Sasa Brenezac (kiri) sedang bersaing dengan kapten Norwich City pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2004.
Bagi aku sendiri, aku tidak berkesempatan untuk menonton perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur 'versi lama' kerana aku hanya pertama kali menjejakkan kaki ke stadium ini pada 14 Julai 2004 iaitu ketika perlawanan persahabatan antara MPPJ Selangor menentang kelab Liga Perdana England, Norwich City. MPPJ tewas tipis 2-3.
Ketika itu seingat aku, stadium ini baru saja selesai proses pengubahsuaian dan penambahbaikan. Kagum, itulah perkataan pertama yang dapat aku katakan selepas melihat fasiliti dan keadaan padang di stadium ini yang boleh disifatkan sebagai terbaik di Malaysia.
Struktur luaran bangunan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang kelihatan cukup kemas dan menarik.
Kini selepas lima tahun berlalu, aku masih berasakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai yang terbaik dari segi kemudahan, fasiliti, persekitaran dan paling utama keadaan padangnya.
Maka tidak mustahil stadium ini terus menjadi tumpuan untuk diadakan perlawanan-perlawanan antarabangsa.
Termasuklah bagi tahun ini yang menyaksikan perlawanan Malaysia bertemu UAE pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 pada 21 Januari lalu (Malaysia dibelasah 5-0), skuad B-23 kebangsaan bertemu Indonesia B-23 pada 13 Jun lalu (Malaysia menang 1-0) dan skuad B-23 kebangsaan bertemu Zimbabwe (Malaysia menang 4-0) pada 12 Julai lalu. Aku hadir menyaksikan ketiga-tiga perlawanan tersebut.
Lihat di bahagian atas bumbung di penjuru kanan gambar di atas ini. Kelihatan sedikit struktur bangunan. Itulah rumah aku iaitu Lumayan Apartment yang terletak bersebelahan Wisma Zelan.
Lantas aku berasa sangat bertuah kerana unit rumah yang aku beli di Lumayan Apartment, Bandar Sri Permaisuri awal tahun ini betul-betul terletak di belakang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Semasa kecil, memang aku mengimpikan untuk membeli rumah di sebelah atau berdekatan stadium supaya senang aku pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium. Nah, sekarang memang rumah aku terletak di belakang stadium pun.
Sejak berpindah ke Lumayan Apartment pada Januari lalu, aku tidak melepaskan peluang untuk pergi menonton perlawanan-perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur terutama apabila berlangsungnya perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.
Musim 2009 ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menjadi gelanggang tuan rumah buat pasukan KL Plus bagi Liga Super serta dua pasukan Liga Perdana iaitu Kuala Lumpur dan Felda United.
Jadi setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu pasti nyalaan lampu limpah stadium akan jelas kelihatan dari tingkat rumah aku menandakan terdapat perlawanan Liga Malaysia berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Inilah padangan dari tingkat 15 (paling atas) di Lumayan Apartment yang jelas boleh melihat keseluruhan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Kawasan berpokok itu merupakan Taman Tasik Permaisuri.
Akhir sekali, yang membezakan stadium ini berbanding stadium-stadium lain di negara ini, jarak di antara tempat duduk penonton dengan padang yang cukup dekat. Ini kerana struktur binaan tempat duduk penontonnya dibina betul-betul pada penghujung trek. Jadi kepuasan menonton di stadium ini lebih jika dibandingkan dengan stadium-stadium lain.
Kedudukan tempat duduk penonton dan padangnya agak dekat membolehkan para penonton berasa selesa dan seronok ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang berkapasiti 18,000 tempat duduk sebenarnya turut menjadi tumpuan pihak sekolah sekitar di ibu negara untuk mengadakan acara olahraga sukan sekolah mereka.
Difahamkan, kadar sewanya yang lebih murah berbanding stadium-stadium lain di ibu negara menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini tumpuan kerana kadar sewa kepada pihak sekolah hanya RM500 selama lima jam pertama berbanding RM1,000 di stadium-stadium lain.
Pendek kata, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur walaupun nampak ringkas dan kecil, tapi ia tetap terbaik bukan saja di Wilayah Persekutuan, malah di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment