Friday, February 12, 2010

Anugerah SAM-100PLUS kembali


SIAPA yang menjadi pilihan ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai atlet terbaik tahunan untuk mengungguli Anugerah SAM-100PLUS 2009 bakal terjawab pada 20 Februari ini.

Majlis anugerah tersebut yang akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya bakal turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Enam calon atlet yang telah disenarai pendek untuk anugerah tersebut telah diumumkan Presiden SAM, Ahmad Khawawi Isa pada satu sidang media di hotel berkenaan semalam.

Mereka ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David (skuasy), Azizulhasni Awang (basikal), Daniel Bego (renang), Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun) serta skuad badminton wanita negara.

“Pemilihan senarai pendek enam calon ini dilakukan oleh SAM dengan bantuan Bahagian Elit Majlis Sukan Negara (MSN) berdasarkan pencapaian atlet negara sepanjang 2009.

“Ini merupakan julung kalinya ahli SAM sendiri mengundi siapa pilihan mereka kerana sebelum ini kita menggunakan panel pemilihan. Ia menjadikan anugerah ini benar-benar pilihan ahli SAM sendiri,” kata Khawari.

Pemenang bagi anugerah tersebut bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Ditanya mengapa skuad bola sepak negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 tidak disenaraikan, Khawari berkata: “Skuad bola sepak ada dalam senarai dipertimbangkan tetapi mereka tiada dalam senarai akhir. Cuma tunggulah hari anugerah itu nanti, akan ada kejutan.”

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun berkata, satu anugerah khas iaitu ‘Outdo Yourself’ turut akan diumumkan pada majlis tersebut.

“Ia akan diberikan kepada atlet yang menyerlah dan berjaya mencapai lebih daripada prestasi semasa mereka. Terdapat dua atau tiga calon yang kita senarai pendek, tunggulah pengumumannya 20 Februari depan,” katanya.

Dalam pada itu, ahli-ahli SAM turut bersaing dalam Anugerah Media SAM-KBS 2009 meliputi enam kategori iaitu Berita Terbaik (cetak), Ulasan Terbaik (cetak), Berita Terbaik (elektronik), Ulasan Terbaik (elektronik), Laporan Khas (cetak & elektronik) serta Gambar Terbaik.

Lima calon terakhir bagi setiap kategori bakal menerima RM500, pemenang setiap kategori menerima RM3,000 dan trofi manakala pemenang utama keseluruhan akan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan trofi.

0 comments: