Futsal: Juara sasaran Malaysia
BIARPUN dibarisi ramai pemain baru, Malaysia tetap meletakkan sasaran untuk menjuarai Pusingan Kelayakan ASEAN Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Jakarta, Indonesia yang bermula Sabtu ini hingga 25 Februari.
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, jika mampu muncul tiga pasukan terbaik pada pusingan kelayakan ini, Malaysia akan melangkah ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mei depan.
“Pihak pengurusan mahu pasukan ini mengekalkan rekod bersih kerana sejak 10 tahun terakhir ini, kita tidak pernah gagal layak ke pusingan akhir. Jadi kita harap dapat menjadi juara pusingan kelayakan kali ini.
“Jika pemain tampil dengan komitmen 100 peratus, saya rasa tiada alasan untuk kita gagal muncul sebagai tiga pasukan terbaik dan seterusnya layak ke Uzbekistan,” kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Hamidin yang juga merupakan pengurus pasukan mengumumkan senarai 14 pemain yang bakal terbang ke Jakarta pada Khamis ini dengan mengetepikan enam pelatih iaitu Hishamuddin Manjur Ahmad, Farid Yusof, R. Deventhiran, Samsul Abd. Latif dan Ahmad Ridzuan Abd. Halim.
Sementara itu, jurulatih negara, Maizal Hairi Marzuki menjelaskan, ketiga-tiga penjaga gol iaitu S. Devandran, Firdaus Razali dan Hafis Awang disenaraikan dalam skuad ke Jakarta bagi memastikan sejarah hitam pada Kejohanan Futsal ASEAN 2009 di Vietnam Jun lalu tidak berulang.
“Ketika di Vietnam, kami hanya bawa dua penjaga gol dan kedua-dua mereka telah dilayangkan kad merah ketika perlawanan pertama menentang Indonesia. Kemudian kami tidak mempunyai penjaga gol pada aksi kedua yang cukup penting ketika bertemu Thailand.
“Jadi kita tak mahu ambil risiko insiden seperti itu berulang kali ini. Tentang saingan peringkat kumpulan di Jakarta nanti, saya rasa Vietnam pasukan paling mencabar manakala pertemuan dengan Filipina dan Kemboja, kita yakin boleh menang,” ujar Maizal.
Sementara itu, ketua pasukan negara, Addie Azwan Zainal, 30, menganggap Indonesia lawan lebih mudah untuk ditumpaskan berbanding Australia apabila kedua-dua pasukan itu bakal menjadi lawan jika mereka layak ke separuh akhir.
“Biarpun Indonesia beraksi di hadapan penyokong sendiri, mereka masih sama taraf dengan kita. Tapi Australia jelas memiliki kelebihan fizikal. Apa pun, kami perlu bersedia menghadapi sesiapa saja untuk mara ke final,” kata Addie yang mahu bersara selepas Sukan SEA 2011.
INFO:
SKUAD FUTSAL MALAYSIA
PENGURUS: Datuk Hamidin Mohd. Amin
KETUA JURULATIH: Maizal Hairi Marzuki
JURULATIH PENJAGA GOL: Zaidi Ramli
PEMAIN:
S. Devandran, Firdaus Razali, Hafis Awang (penjaga gol); Akhmall Abdullah, Fairuz Mohd. Noor, Afandi Bonyamin, Addie Azwan Zainal (kapten), Ruzaley Abd. Aziz, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Safar Mohamad, Muizzudin Haris, Khairul Rizuan Harif Pagilah, Fadzil Ab. Karnim, Khairul Effendy Bahrin.
JADUAL PERLAWANAN:
20 Februari - MALAYSIA lwn Filipina
21 Februari - MALAYSIA lwn Kemboja
22 Februari - MALAYSIA lwn Vietnam
24 Februari: Separuh Akhir
25 Februari: Final & Penentuan Tempat Ketiga
* Semua perlawanan berlangsung di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta.
0 comments:
Post a Comment