Friday, May 21, 2010

Devan, 3 pemain dihukum FAM



ORANG lain makan nangka, orang lain pula yang kena getahnya.

Begitulah perumpamaan tepat terhadap nasib yang menimpa pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan serta tiga pemainnya, Hardi Jaafar, Safee Sali dan Razman Roslan.

Kesemua mereka digantung antara empat hingga enam perlawanan dan dikenakan denda berjumlah RM16,000 oleh Persa- tuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia ekoran salah laku disiplin ketika saingan separuh akhir Piala FA bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 3 April lalu.

Sekalipun Selangor menang 1-0 pada aksi tersebut bagi mengikat kedudukan dengan agregat 2-2, namun skuad Gergasi Merah itu gagal ke final disebabkan peraturan gol di tempat lawan.

Di sebalik kegagalan Selangor itu, kekecohan yang berlaku antara Devan dengan penjaga garisan, Mohd. Kamil Tumin lebih menjadi tumpuan.

Kekecohan itu berpunca daripada kegagalan pengadil perlawanan, Ibrahim Mohamad dan Kamil memberikan sepakan penalti kepada Selangor biarpun jelas pemain pertahanan Negeri Sembilan, Shukor Adan sengaja menampan bola menggunakan tangan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Kamaruddin Abdullah berkata, biarpun hukuman tersebut dianggap cukup berat, namun ia adalah mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Kod Tatatertib FAM.

"Devan melakukan dua kesala- han iaitu keluar dari kawasannya untuk mengganggu penjaga garisan serta mengeluarkan kata kesat terhadap penjaga garisan dan komisioner perlawanan.

"Hardi juga dua kesalahan iaitu menyerang dan menolak penjaga garisan serta memukul belakang badannya selepas perlawanan.

"Jadi Devan dan Hardi dihukum gantung enam perlawanan dan denda RM6,000 setiap seorang.

"Safee pula satu kesalahan iaitu melakukan sentuhan terhadap pengadil. Dia digantung empat perlawanan dan denda RM2,000.

"Manakala Razman bersalah kerana menampar pipi pemain Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah. Dia digantung empat perlawanan dan dikenakan denda RM2,000," katanya kepada Kosmo! petang semalam.

Kamaruddin menambah: "Keputusan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu memandangkan ia merupakan hukuman minimum bagi setiap kesalahan. Ia berkuat kuasa serta-merta."

1 comments:

Wan Fakhrul Wan Bakar said...

Hukuman penggantungan perlawanan itu boleh dianggap cukup berat memandangkan 'serangan' yang dilakukan terhadap pengadil dan penjaga garisan itu langsung tidak mendatangkan kecederaan.

Lagipun ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan kesemua mereka dan FAM sepatutnya memberi peluang rayuan kerana saingan Liga Super hanya berbaki 10 perlawanan.

Selangor yang kini menduduki tangga teratas dengan kelebihan enam mata pasti sedikit pincang untuk menghadapi enam perlawanan selepas ini bertemu KL Plus, Pahang, Perlis, Johor, Kelantan dan Perak.

Hanya baki empat perlawanan terakhir bertemu Pulau Pinang, T-Team, Terengganu dan Kedah, juara bertahan Liga Super itu bakal tampil semula dengan barisan utama termasuk Devan.

May 21, 2010 at 3:20 AM