Kenyataan balas Azzuddin berhubung isu Azraai Khor
SIARAN AKHBAR: KENYATAAN BALAS BERHUBUNG KENYATAAN MOHD AZRAAI KHOR DAN AZMAN EUSOFF DALAM AKHBAR BERITA HARIAN DAN HARIAN METRO BERTARIKH 16 JULAI, 2010.
Selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan balas bagi memberi gambaran sebenar berhubung isu peletakan jawatan Mohd Azraai Khor Abdullah dan Azman Eusoff yang memberi gambaran seolah-olah saya berbohong.
Saya ingin menegaskan saya tidak pernah berbohong dalam isu ini dan mahu menjelaskan keadaan secara kronologi agar difahami pihak media. Walaupun saya sedar laporan yang memetik Azraai dan Azman berunsur peribadi, saya tidak berniat memanjangkan isu ini, sebaliknya mahu menjelaskan keadaan sebenar.
Pada masa yang sama, ingin saya tekankan bahawa saya tidak berniat menjatuhkan maruah atau martabat sesiapa serta tidak mahu dilihat membuka pekung di dada.
Sebaliknya selaku wakil FAM, saya menghulurkan penghargaan atas sumbangan Azraai dan Azman.
Dengan ini saya meminta jasa baik pihak media untuk menerbitkan kenyataan ini.
Latar belakang pelantikan Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih Harimau Muda A
1. Azraai dilantik selaku ketua jurulatih Harimau Muda A pada 1 November, 2009 dan diberi mandat memilih panel jurulatihnya. Amalan biasa bagi FAM memberi jurulatih kebebasan memilih penolong mereka dan Azraai melantik Azman Eusoff sebagai penolong dan P. Mohana Sundram selaku jurulatih penjaga gol.
2. Pasukan Harimau Muda A berlepas ke Slovakia pada 17 Februari dan pulang ke tanah air pada 31 Mei, 2010.
3. Malangnya, timbul beberapa isu ketika pasukan menyertai sesi latihan dan perlawanan di Slovakia.
Isu semasa
Jawatankuasa Teknikal bersidang pada 30 Jun dengan menemu bual Azraai, Azman, Mohana dan beberapa pemain selepas FAM menerima laporan mengenai perselisihan faham Azraai dan Mohana. Ahli jawatankuasa akhirnya memutuskan ketiga-tiganya dilepaskan daripada jawatan masing-masing.
Hasil siasatan Jawatankuasa Teknikal FAM turut mendapati ada beberapa kelemahan teknikal di pihak Kumpulan Kejurulatihan ini.
Selain perselisihan pendapat di antara Azraai dan Mohana, Jawatankuasa Teknikal FAM turut merumuskan beberapa tindak-tanduk Azraai sekembalinya ke tanah air tanpa merujuk kepada pengurusan skuad Harimau Muda A dan sekretariat FAM terlebih dahulu sebagai satu kesilapan.
Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Agung, untuk memaklumkan kepada mereka keputusan itu.
Dalam pertemuan secara peribadi, saya memaklumkan kepada mereka secara berseorangan bahawa khidmat mereka tidak diperlukan lagi.
Disebabkan kontrak mereka menyebut dengan jelas mereka mengurus Harimau Muda A, ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang pasukan untuk dikendalikan. Sejurus itu, saya menasihati mereka agar menimbang menyerahkan surat peletakan jawatan dengan syarat-syarat mereka.
Azraai menyerahkan surat bertajuk permohonan meletak jawatan pada tarikh 6 Julai, diikuti Azman dengan tajuk Arahan Penamatan Tugas pada 9 Julai. Dalam surat Azraai, tertera dengan jelas mohon menamatkan kontrak, manakala Azman bersedia menimbang untuk meletak jawatan, yang pada asasnya boleh ditafsirkan sebagai niat meletak jawatan tertakluk kepada syarat dan rundingan yang dipersetujui FAM.
Perkara ini belum diputuskan dan ini dijelaskan dalam sidang akhbar tempoh hari iaitu pada 13 Julai, yang ia harus dibentangkan kepada KDYMM Sultan Ahmad Shah selaku Tuanku Presiden FAM.
Adalah menjadi harapan saya perkara ini tidak diperbesar-besarkan serta diselitkan tuduhan-tuduhan yang bersifat peribadi dan tidak menguntungkan sesiapa. Saya juga ingin menegaskan kami di FAM tidak mahu mendedahkan isu ini secara terperinci kerana mahu menjaga nama dan maruah semua pihak.
Sekian. Terima kasih.
16 Julai 2010
LT JEN DATO’ AZZUDDIN AHMAD
SETIAUSAHA AGUNG
LAPORAN HARIAN METRO
LAPORAN BERITA HARIAN
0 comments:
Post a Comment