Monday, July 26, 2010

Persahabatan: Malaysia B-23 (1) Korea Selatan B-21(0)

SKUAD bola sepak kebangsaan membuktikan mereka kini wajar untuk terus digeruni apabila berjaya mengejutkan skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh pemain tengah Selangor, Safiq Rahim pada awal separuh masa kedua.

Perlawanan yang diadili pengadil Piala Dunia 2010, Subkhiddin Salleh itu bermula dalam keadaan hujan renyai sambil disaksikan 5,000 penonton kedua-dua negara.

Malaysia yang dibarisi pemain B-23 kecuali tiga pemain lebih umur, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengimbangi kekuatan lawan yang dibarisi pemain B-21 pada separuh masa pertama.

Seawal minit keempat, Malaysia sudah menguji gawang Korea Selatan tetapi percubaan Norshahrul hasil hantaran Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan sedikit sipi.

Gawang Malaysia cemas seketika pada minit ke-10 apabila tandukan penyerang Korea Selatan, Park Hee Seong berpunca daripada sepakan sudut berjaya menggegar palang gol ketika Sharbinee sudah tertewas.

Selang dua minit kemudian, Malaysia sekali lagi mengancam kali ini menerusi pemain sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani yang memperdayakan seorang pertahanan Korea Selatan sebelum rembatannya tepat ke dakapan Lee Bum Soo.

Selepas aksi rancak pada awal permainan itu, kedua-dua pasukan sekadar bertukar serangan tanpa sebarang gerakan bahaya untuk menghasilkan gol.

Namun pada minit ke-40, Korea Selatan hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma pemain pertahanan, Park Hyung Jin sekadar menggegar palang gol Malaysia.

Sebaik babak kedua bermula, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak melakukan sebarang pertukaran dan Malaysia hanya memerlukan lima minit untuk mendahului lawan.

Gol pertama Malaysia diperoleh pada minit ke-50 menerusi rembatan Safiq selepas sepakan percuma yang diambilnya sebelum itu gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan yang seakan tersentak dengan jaringan itu mula bangkit mengatur serangan tetapi masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan yang diterajui ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.

Rajagobal melakukan enam pertukaran selepas itu dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen Zambri, Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali dan Azmi Muslim menggantikan Norshahrul, Fakri, Nasriq, Amar Rohidan, S. Kunanlan dan Asraruddin.

Manakala jurulatih Korea Selatan, Hong Myung Bo pula melakukan lima pertukaran tetapi kedudukan tidak berubah sehingga tamat perlawanan.

“SKUAD Malaysia begitu bersemangat untuk mencipta kemenangan dan sebab itulah mereka menang. Itu saja yang boleh saya katakan.”

Demikian alasan mudah jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Hong Myung Bo pada sidang media selepas skuad bimbingannya tewas 0-1 kepada skuad kebangsaan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Myung Bo turut memberitahu bahawa pemainnya yang berusia 21 tahun dan ke bawah itu sudah mencuba yang terbaik tetapi mereka kurang pengalaman kerana masih berstatus amatur.

“Gol yang kami lepaskan itu adalah kesilapan penjaga gol dan keadaan padang basah menyukarkan pergerakan pemain kami, sebaliknya Malaysia dapat beraksi dengan baik.

“Tapi saya tak risau kerana skuad muda ini merupakan barisan pemain masa depan dan masih ada ruang untuk mereka meningkatkan prestasi selepas mendapat pengalaman berguna ini,” kata Myung Bo.

Di sebalik alasan yang dinyatakan itu, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tetap berjaya membuktikan bahawa Malaysia sebenarnya mampu bersaing dengan negara-negara yang lebih kuat asalkan pemain memiliki kemahuan tinggi.

“Pemain mahukan sesuatu pada perlawanan ini. Mereka berkerja keras, berlari dengan penuh semangat dan sedaya upaya cuba bersaing dengan fizikal pemain lawan.

“Saya puji mereka kerana bukan senang nak kalahkan Korea Selatan. Ini penting untuk memberi keyakinan kepada pemain dan apabila usia mereka mencecah 26 atau 27 tahun, kita akan memiliki skuad kebangsaan yang mantap,” kata Rajagobal.

Pada perlawanan semalam, Rajagobal menurunkan tiga pemain lebih usia 23 tahun tetapi dia menganggap satu perlawanan belum memadai untuk menilai keupayaan pemain untuk menggalas cabaran pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

“Saya mahu lihat konsistensi mereka sepanjang beberapa bulan lagi. Hanya pada penghujung Oktober nanti baru saya boleh tentukan tiga pemain senior yang akan dibawa ke Sukan Asia,” jelasnya.

Sementara itu, penjaring gol kemenangan Malaysia, Safiq Rahim menganggap jaringannya itu paling tidak dapat dilupakan sepanjang kariernya.

“Memang sukar dilupakan kerana ia terhasil ketika saya pertama kali beraksi menentang Korea Selatan. Tapi tanpa kerjasama rakan sepasukan yang lain, saya tak mungkin dapat menjaringkan gol tersebut,” kata pemain tengah Selangor berusia 23 tahun itu.

0 comments: