Monday, July 12, 2010

Sepanyol juara Piala Dunia 2010


SEPANYOL akhirnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia 2010 setelah mereka berjaya menewaskan Belanda 1-0 pada aksi final edisi ke-19 itu di Stadium Soccer City, Johannesburg, Afrika Selatan awal pagi Isnin (12 Julai 2010) hasil jaringan Andres Iniesta pada masa tambahan (minit ke-116).

Kejayaan tersebut menjadikan Sepanyol negara kelapan berjaya menjuarai Piala Dunia selepas Brazil (5x), Itali (4x), Jerman (3x), Argentina (2x), Uruguay (2x), Perancis (1x) dan England (1x), sekali gus membolehkan satu bintang diletakkan pada jersi skuad kebangsaan mereka.

Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia 2010 dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Switzerland sebelum mereka menang 2-0 ke atas Honduras dan menamatkan saingan Kumpulan H dengan menewaskan Chile 2-1 untuk muncul juara kumpulan.

Pada saingan kalah mati, Sepanyol mencatat kemenangan konsisten dengan jaringan yang sama iaitu 1-0 pada keempat-empat perlawanan dengan menewaskan Portugal (pusingan kedua), Paraguay (suku akhir), Jerman (separuh akhir) dan Belanda (akhir).

Selepas sebulan bersengkang mata menyaksikan kesemua 64 perlawanan, jumpa lagi empat tahun akan datang untuk saingan Piala Dunia 2014 di Brazil dari 13 Jun hingga 13 Julai 2014.










0 comments: