Saturday, January 2, 2010

1 Februari


TARIKH 1 Februari pasti sudah begitu sinonim dengan kita.

1 Februari diketahui umum sebagai tarikh sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Bagi tahun 2010 ini, tarikh 1 Februari bakal tiba tidak sampai sebulan saja lagi.

Hari Wilayah Persekutuan 2010 merupakan ulang tahun ke-36 penubuhan Wilayah Persekutuan.

Menyingkap kembali sejarah, Kuala Lumpur yang sebelum ini berada di dalam negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada tanggal 1 Februari 1974.

Pada tarikh tersebut, Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menandatangani dokumen penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan.

Ia berlaku hanya selepas dua tahun Kuala Lumpur diiktiraf sebagai sebuah bandar raya.

10 tahun kemudian iaitu pada 16 April 1984, sebuah pulau di negeri Sabah iaitu Labuan pula telah diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan yang kedua.

Ini dilengkapkan dengan pengisytiharan pusat pentadbiran kerajaan yang baru iaitu Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada tanggal 1 Februari 2001.

Maka bagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010, Kuala Lumpur akan mencecah usia 36 tahun, Labuan 26 tahun dan Putrajaya 9 tahun bergelar Wilayah Persekutuan.



Sambutan Hari Wilayah Persekutuan disambut secara serentak bagi ketiga-tiga wilayah tersebut buat pertama kalinya pada tahun 2005, kira-kira 10 bulan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan semula ketika penyusunan Kabinet pada 27 Mac 2004.

Sebelum itu, Kementerian Wilayah Persekutan telah diwujudkan pada 1979, lima tahun selepas Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Namun pada tahun 1981, ia telah diturunkan status apabila bukan lagi bergelar sebagai sebuah kementerian, hanya dijadikan satu bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan beroperasi sebagai Unit Perancangan Lembah Klang sehinggalah Mac 2004.

Pada tarikh 23 Oktober 2009 pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan nama baru dan fungsi yang lebih meluas kementerian ini yang diberikan nama rasmi baru iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar.


Jadi menjelang Hari Wilayah Persekutuan 2010 yang bakal menjadi sambutan sulung di bawah teraju menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang baru dilantik pada 9 April 2009, eloklah kita mengimbau semula lima sambutan terakhir Hari Wilayah Persekutuan iaitu pada 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009.

1 Februari 2005:

Hari Wilayah Persekutuan 2005 buat pertama kalinya disambut serentak oleh ketiga-tiga Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada sebelah pagi.

Bertemakan 'Sayangilah Wilayah Persekutuan', sambutan pada tahun tersebut dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad.

1 Februari 2006:

Hari Wilayah Persekutuan 2006 menampilkan kelainan apabila ia diadakan di Dataran Labuan, Labuan.

Sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Pemangku Menteri Wilayah Persekutan ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

1 Februari 2007:

Hari Wilayah Persekutuan 2007 kembali disambut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan kali ini ia dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seperti biasa, acara sambutan diadakan pada sebelah pagi dan ia turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

1 Februari 2008:

Hari Wilayah Persekutuan 2008 paling diingati kerana ketika itu saya ditugaskan bersama rakan wartawan, Faizal Nazaruddin untuk membuat liputan berita bagi akhbar Kosmo! tentang acara sambutan yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Hari Wilayah Persekutuan disambut pada sebelah malam, satu kelainan yang membuatkan warga kota berpeluang menyaksikan persembahan bunga api.


Tema 2008 ialah 'Wilayah Persekutuanku Gemilang' dan majlis sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rasa bangga dalam diri ini apabila saya berpeluang berada di celah-celah puluhan ribu warga kota berbilang kaum tidak kira Melayu, Cina dan India sambil melaporkan apa yang berlaku pada malam sambutan itu secara penulisan bercetak pada akhbar Kosmo! keesokan harinya.

Ini kerana, pada ketika itu saya baru genap sebulan kembali bertugas di ibu pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur setelah dipindahkan ke Kosmo! cawangan Pahang pada penghujung 2006.

Ketika mula-mula bertugas sebagai wartawan di ibu pejabat Kosmo!, saya tidak berkesempatan membuat liputan sambutan Hari Wilayah kerana tarikh saya mula melaporkan diri ialah pada 16 Februari 2006.

1 Februari 2009:

Hari Wilayah Persekutuan 2009 turut menampilkan kelainan tetapi ia kembali diadakan pada sebelah pagi.

Kali ini sambutan yang dirasmikan buat kali terakhir oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri telah berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dengan bertemakan 'Wilayah Maju Warga Sejahtera'.


Sambutan 2009 tidak dapat saya sertai untuk membuat liputan berita kerana sejak Januari 2009 sehingga kini, saya sudah tidak bergelar wartawan berita sebaliknya bertugas sebagai wartawan sukan di akhbar Kosmo!.

Jadi menjelang 1 Februari 2010, saya ternanti-nanti apakah pula kejutan terbaru yang bakal dilakukan pada sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010.

Tapi saya yakin, pasti akan ada kejutan atau kelainan yang akan dilakukan jika dinilai sambutan sepanjang lima tahun terakhir ini, lebih-lebih lagi inilah sambutan sulung di bawah pentadbiran Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar ketika ini.

Yang nyata, elemen 1Malaysia sudah tentu menjadi teras kepada tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 memandangkan ia merupakan gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa pun, segala-galanya terserah kepada ketibaan tarikh keramat ini, 1 Februari 2010.

Diharap dengan penceritaan semula tarikh-tarikh penting bagi sejarah Wilayah Persekutuan ini selain imbasan semula lima sambutan terakhir Hari Wilayah Persekutuan sejak 2005 dapat membuatkan sesiapa yang membacanya berasa teruja untuk menyertai sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 pada 1 Februari depan.

1Februari, 1Wilayah, 1Malaysia!

0 comments: