Pindaan tarikh beberapa perlawanan Liga Super dan Piala FA 2010
PERLAWANAN Liga Super membabitkan Johor FC dengan KL Plus di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam esok telah ditunda ke 9 Februari depan.
Bagaimanapun enam lagi perlawanan Liga Super yang dijadualkan berlangsung esok tetap akan berlangsung seperti biasa.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, dua perlawanan Liga Super pada Sabtu lalu yang ditangguhkan juga akan berlangsung pada 9 Februari depan.
“Dua perlawanan Sabtu lalu iaitu Johor bertemu T-Team dan Pahang bertemu Negeri Sembilan bersama-sama perlawanan Johor FC bertemu KL Plus yang sepatutnya berlangsung Selasa (esok) akan ditunda ke 9 Februari 2010,” kata Azzuddin semalam.
Penundaan itu dibuat bagi menghormati kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada Jumaat lalu memandangkan negeri Johor berkabung selama tujuh hari manakala Pahang selama tiga hari.
Tambah Azzuddin, satu lagi perlawanan yang terbabit dengan perubahan tarikh ialah pertemuan Johor dengan Negeri Sembilan di Larkin Sabtu ini yang ditunda ke tarikh baru iaitu 16 Mac 2010.
Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang bersidang pada Khamis lalu telah membuat pindaan tarikh terhadap beberapa perlawanan Piala FA 2010.
“Perlawanan pusingan pertama akan berlangsung pada 2 dan 6 Februari, pusingan kedua pada 16 dan 20 Februari, suku akhir pada 9 dan 20 Mac, separuh akhir pada 27 Mac dan 3 April manakala perlawanan akhir pada 10 April.
“Mesyuarat JKPT juga telah membuat keputusan bahawa pasukan Pahang UiTM layak secara automatik ke pusingan kedua Piala FA setelah pasukan Ban Hoe Leong terkeluar daripada saingan,” kata Azzuddin.
0 comments:
Post a Comment