Persahabatan: Selangor (0) Zimbabwe (3)
HATRIK daripada penjaring terbanyak Liga Perdana Zimbabwe 2009, Nyasha Mushekwi (gambar) membolehkan skuad kebangsaan Zimbabwe menewaskan skuad Liga Super Selangor 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Mushekwi, penyerang kelab CAPS United yang mengenakan jersi No.12 berjaya membolosi gawang Selangor pada minit ke-25, ke-40 dan ke-63 untuk menebus kekecewaan skuad Zimbabwe yang tewas 0-3 kepada Thailand di Bangkok pada Selasa lalu.
Pada separuh masa pertama, Selangor memperolehi peluang terbaik pada minit ke-22 tetapi rembatan kencang Liew Kit Kong dari luar kotak penalti berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Zimbabwe, Washington Arubi.
Zimbabwe memperolehi gol pertama pada minit ke-26 setelah lambungan dari kanan mudah ditanduk masuk Mushekwi untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.
Gol kedua Zimbabwe hadir pada minit ke-40, juga menerusi hantaran silang dari sebelah kanan yang disambut dengan lonjakan tinggi Mushekwi yang menanduk masuk sekali lagi.
Ketinggalan 0-2, Selangor kembali bangkit pada separuh masa kedua dan hampir berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-60 tetapi rembatan Rudie Ramli di hadapan pintu gol sempat dihadang penjaga gol Zimbabwe.
Namun Zimbabwe pula mendapat gol ketiga pada minit ke-63 apabila sekali lagi hantaran silang dari sebelah kanan berjaya disambar masuk oleh Mushekwi, kali ini menewaskan penjaga gol gantian Selangor, Fairul Azwan Shahrullail.
Fairul kemudian bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan berbahaya Zimbabwe.
Sebaliknya, penyudah jentera serangan Selangor terus buntu termasuk situasi satu lawan satu Safee Sali pada minit ke-75 yang dipersia-siakan bekas penyerang kebangsaan itu.
Skuad Selangor bimbingan jurulatih K. Devan akan menamatkan siri perlawanan pra musim mereka dengan bertemu PDRM di Padang SUK, Shah Alam pada Sabtu ini, 5 petang.
Manakala Zimbabwe yang dibimbing sementara oleh penolong jurulatihnya, Joey Antipas bakal bertemu Syria yang tewas 1-4 kepada skuad kebangsaan Malaysia pada aksi persahabatan juga petang Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
SELANGOR: 1-Iqbal Suhaimi (1-Fairul Azwan Shahrullail m-45), 3-Razman Roslan (24-Fitri Shazwan Raduwan m-45), 2-Zaiza Zainal Abidin, 5-Khairul Anuar Baharom, 15-P.Gunalan (c), 18-Liew Kit Kong (16-Azrine Efendy Saduddin m-45), 25-Fazilidin Khalid, 14-Hardi Jaafar, 19-D.Surendran (3-Razman Roslan m-65), 9-Rudie Ramli (23-R.Surendren m-70), 10-Safee Sali.
Tidak beraksi: 21-Hamsani Ahmad (demam), 7-Farderin Kadir (cedera), 12-Bunyamin Umar (menerima jahitan atas kening selepas berlaga ketika bertemu Pahang).
Masih bersama skuad kebangsaan: 17-Amri Yahyah, 8-Safiq Rahim, 6-Nasriq Baharom, 20-Amirulhadi Zainal dan 4-Asraruddin Putra Omar.
0 comments:
Post a Comment