Selangor tetap berwaspada
APA jua keputusan perlawanan antara Terengganu dengan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu ini, tidak akan mengubah kedudukan Selangor selaku pendahulu Liga Super.
Namun pertembungan dua pasukan tangga teratas liga itu tetap penting dalam menentukan kedudukan dalam liga yang akan berehat selama lima minggu selepas berakhirnya perlawanan ketujuh pada 30 Januari depan.
Andai Selangor menang perlawanan kelima Sabtu ini, mereka bakal mengumpul 15 mata untuk terus selesa meninggalkan pencabar-pencabar lain tetapi jika Terengganu menang, mereka akan mengumpul 11 mata, kektinggalan satu mata di belakang Selangor.
Pengurus dan jurulatih Selangor, K. Devan berkata, dia meramalkan pertemuan dengan Terengganu di tempat lawan itu bakal menjadi satu perlawanan yang sukar berbanding empat perlawanan sebelum ini.
"Saya anggap ini ujian sebenar bagi Selangor kerana kita akan bertemu Terengganu yang juga masih belum tewas. Selepas empat perlawanan, banyak lagi kelemahan yang perlu kami perbaiki.
"Cuma saya harap semua pemain Selangor dapat mengekalkan prestasi dan juga tahap kecergasan menjelang perlawanan ini," kata Devan ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Selangor menewaskan Pahang 4-0 menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-34, Safiq Rahim (55) serta dua gol menerusi supersub, R. Surendren (76 dan 82).
"Pada malam ini (kelmarin) jentera tengah dan serangan kita berfungsi dengan baik, cuma pertahanan kurang kemas dan hampir dihukum pasukan Pahang.
"Tapi yang penting, saya puas hati dengan kesungguhan pemain dan harap kemenangan ini akan terus meningkatkan moral mereka bagi menghadapi Terengganu," ujar Devan.
Ditanya adakah Surendren akan terus diberikan peranan supersub, Devan berkata: "Dia memang boleh main dalam kesebelasan utama tetapi buat masa sekarang kita ada ramai pemain dan saya nampak lebih dia (Surendran) berkesan sebagai supersub."
Surendren, 28, kini merupakan penjaring terbanyak Liga Super dengan lima gol.
Sementara itu, bagi menyemarakkan semangat pemain Selangor, Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) akan menganjurkan rombongan ke Kuala Terengganu bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Presiden SSFC, Nasir Yunus berkata, mereka yang berminat perlu berkumpul di tempat letak kereta pintu utama Stadium Shah Alam pada pukul 11.55 malam esok dengan bayaran RM60 termasuk tiket grandstand.
"Jika berminat, boleh menghubungi saya di talian 012-3209207, Azhari Musa 017-3177505, Shahiran 019-3406841 atau Hairy 012-3687576 untuk tempahan," kata Nasir kepada Kosmo! semalam.
0 comments:
Post a Comment