Futsal AFF: Malaysia naib juara
“KITA perlu serius mencari jurulatih asing jika kita mahu meningkat ke tahap lebih tinggi. Liga tempatan kita juga perlu lebih mantap dan berlangsung lebih lama. Bermain hanya tiga bulan tidak mencukupi.”
Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Futsal Kebangsaan, Datuk Hamidin Mohd. Amin setelah skuad negara tewas 0-5 kepada Indonesia pada final Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 di Ho Chi Minh, Vietnam semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Phu Tho itu, skuad negara bimbingan Maizal Hairi Marzuki ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jaelani Ladjanibi pada minit ketujuh.
Kapten Indonesia, Vennard Hutabarat menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-23 sebelum mereka menambah tiga lagi gol menerusi Deny Handoyo (34), Socrates Matulessy (35) dan Ali Haidar (36).
“Kami perlu menunjukkan kestabilan pasukan untuk menghadapi perlawanan ini dan saya gembira dengan cara pemain melakukannya. Selain itu, gerakan serangan kita juga tampak menyakinkan.
“Cuma kita gagal menterjemahkan peluang yang diperoleh. Tapi saya perlu akui Indonesia pasukan yang lebih baik dan keputusan perlawanan menceritakan segalanya,” jelas Hamidin yang juga merupakan pengurus pasukan.
Malaysia berjaya melangkah ke final setelah menduduki tempat kedua dalam saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan yang berlangsung sejak Isnin lalu.
Indonesia menduduki tangga teratas dengan 12 mata maksimum diikuti Malaysia (9), Vietnam (6), Filipina (3) dan Myanmar (0).
Pada aksi sulung Isnin lalu, Malaysia menewaskan Filipina 5-3 sebelum tewas 0-6 kepada Indonesia tetapi bangkit semula menewaskan Myanmar 2-0 dan Vietnam 2-0.
0 comments:
Post a Comment