Tuah Paroi milik Gergasi Merah?
STADIUM Tuanku Abdul Rahman, Paroi dianggap gelanggang keramat bagi skuad Negeri Sembilan.
Namun, ia tidak semestinya menghadirkan tuah buat skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA bertemu Selangor malam ini.
Ini kerana, dalam empat pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di stadium tersebut, Negeri Sembilan gagal mencatat sebarang kemenangan ke atas Selangor.
Untuk rekod, Selangor menang 2-1 pada aksi Liga Super 2007/08, menang 2-1 (Piala Malaysia 2007/08), seri 1-1 (Liga Super 2009) dan menang 2-1 (Piala Sumbangsih) pada 9 Januari lalu.
Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya menewaskan Selangor di Paroi ialah dengan kemenangan 3-1 pada aksi Liga Super 2006/07.
Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, para pemainnya begitu bermotivasi dan bersemangat tinggi untuk mencatat kemenangan sekurang-kurangnya dengan dua gol untuk layak ke final Sabtu depan.
"Selangor akan beraksi secara menyerang pada perlawanan ini kerana kita mahu memburu gol awal untuk menyamakan agregat.
"Jika berjaya melakukannya, saya yakin peluang Selangor kembali terbuka untuk mencari pula gol kedua dan selepas itu Negeri Sembilan pasti akan mula tertekan," kata Devan.
Skuad Gergasi Merah menjalani latihan terakhir di Padang SUK, Shah Alam pagi semalam sebelum mereka bertolak ke Seremban pada sebelah tengah hari dan menjalani latihan ringan pada sebelah petang.
Ditanya tentang ketiadaan tiga tonggak pasukan lawan iaitu Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Aidil Zafuan Radzak yang digantung, Devan berkata: "Saya tak fikir kelemahan lawan. Yang penting pemain-pemain Selangor sendiri perlu mempamerkan komitmen penuh."
Sementara itu kapten Selangor, Amri Yahyah berkata, mereka tidak boleh terlalu yakin untuk menewaskan Negeri Sembilan kerana hanya aksi di tengah padang yang bakal menentukan keputusan perlawanan.
"Kita perlu mencari dua gol untuk berkedudukan layak ke final tetapi perlu tenang. Jangan terlalu gopoh sangat kerana ia akan memakan diri.
"Saya juga berharap para penyokong Selangor turun beramai-ramai ke Paroi bagi menaikkan semangat pemain sepanjang perlawanan ini," kata Amri.
0 comments:
Post a Comment