Wednesday, March 31, 2010

Selangor pilih laluan sukar

JUARA bertahan, Selangor memilih jalan sukar apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Negeri Sembilan berjaya menguasai 10 minit pertama permainan untuk menguji penjaga gol Selangor, Fairul Azwan Shahrullail yang menggantikan Hamsani Ahmad yang retak tulang kaki kirinya.

Namun, selepas itu Selangor pula kembali menemui rentak sebenar dan sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Amri Yahyah dijatuhkan Ching Hong Aik pada minit ke-23.

Kegagalan pengadil, Mohd. Nafeez Abdul Wahab mengawal permainan dengan baik telah mengakibatkan aksi semakin panas dengan terjahan-terjahan keras ditampilkan pemain kedua- dua pasukan.

Selangor mendapat dua peluang terbaik tetapi rembatan Safiq Rahim dari luar kotak penalti pada minit ke-40 berjaya ditepis Farizal Harun manakala tandukan Bunyamin Umar seminit kemudian dikeluarkan Hong Aik di atas garisan gol.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-44 setelah Safee Sali berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Hardi Jaafar.

Baru 10 minit babak kedua berlangsung, Negeri Sembilan terpaksa membuat dua pertukaran setelah Farizal dan Shafik Abd. Rahman mengalami kecederaan. Sani Anuar Kamsani dan K. Thanaraj masuk sebagai pengganti.

Namun, kelekaan para pemain Selangor telah menyebabkan gawang mereka dibolosi sebanyak dua kali dalam tempoh hanya dua minit.

Negeri Sembilan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-69 hasil kesilapan Fairul Azwan yang gagal menangkap kemas percubaan jauh Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan.

Selang dua minit kemudian, pemain pertahanan Selangor, Nasriq Baharom pula tertolak masuk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran S. Kunanlan untuk gol kedua Negeri Sembilan.

Perlawanan separuh akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

0 comments: