Kuong Yong digugur akibat kecederaan
SATU-SATUNYA pemain berbangsa Cina dalam skuad bola sepak kebangsaan, Yong Kuong Yong terpaksa melupakan kem latihan bermula hari ini sehingga 9 April depan setelah dia mengalami kecederaan pangkal paha.
Pemain sayap skuad Liga Super Kuala Lumpur itu berkata, dia mengalami kecederaan tersebut ketika membantu pasukannya menewaskan Perlis 2-0 di Kangar pada 13 Mac lalu.
“Pada mulanya memang saya berasa cukup gembira kerana jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memanggil saya sekali lagi setelah kem latihan fasa pertama pada penghujung bulan lalu.
“Tapi semalam (kelmarin) saya telah menjalani satu ujian perubatan dan doktor mengesahkan yang saya terpaksa berehat antara empat hingga enam minggu sebelum kecederaan pangkal paha ini benar-benar pulih.
“Memang ia sesuatu yang mengecewakan kerana saya begitu bersemangat untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan,” kata Kuong Yong ketika ditemui pada Majlis Pelancaran KL Hawks di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.
Pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menambah, dia masih belum berpuas hati dengan prestasinya ketika mengikuti latihan skuad kebangsaan sebelum ini.
“Ketika bertemu Yemen, saya diberi peluang beraksi selama 30 minit. Sebelum masuk, memang saya begitu teruja dan bersemangat tetapi apabila berada di atas padang, saya jadi gemuruh dan permainan menjadi kelam kabut.
“Pada perlawanan kedua bertemu Albirex Niigata pula, saya hanya diberi aksi selama tujuh minit. Sudah tentu tidak puas.
“Jadi saya berhasrat untuk mempamerkan aksi lebih mantap dalam saingan Liga Super selepas pulih nanti supaya terus dipanggil pada kem latihan akan datang,” ujar Kuong Yong.
Bagi kem latihan kali ini, Rajagobal memanggil 27 orang pelatih termasuk enam muka baru iaitu Hafiszuan Salehuddin (Perak), Che Ku Ahmad Rusydi Amir Ku Azam (Terengganu), Saufi Sa’aidi (Perak), Abdul Halim Zainal (Negeri Sembilan), Amir Omar Khata (Pulau Pinang) dan S. Harivarman (PDRM).
0 comments:
Post a Comment