'Posmen' kena belasah di Selayang
JUARA bertahan, Selangor berada 'sebelah kaki' ke separuh akhir Piala FA 2010 setelah mudah membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Selayang malam tadi.
Skuad bimbingan K. Devan itu yang tampil kali pertama dengan jersi ketiga mereka berwarna biru muda selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.
Kapten Selangor, Amri Yahyah membuka tirai jaringan pada minit ke-21.
Amri meledak gol kedua Red Giants lima minit kemudian selepas menyambung bola muntah hantaran Amirulhadi Zainal.
Gol ketiga Selangor menyusul pada minit ke-41 selepas hantaran Amri dari sebelah kiri berjaya disudahkan dengan kemas oleh Safee Sali.
Penyerang gantian, Rudie Ramli menambah gol keempat Selangor selepas menyudahkan hantaran Safiq Rahim pada minit ke-69.
Kelekaan benteng pertahanan Selangor bagaimanapun dihukum apabila Pos Malaysia berjaya memperoleh gol menerusi pemain gantian, Khairul Zal Azmi pada minit ke-77.
Namun, Selangor hanya memerlukan seminit untuk memperoleh gol kelima menerusi jaringan Rudie.
0 comments:
Post a Comment