Tuesday, March 23, 2010

Tiada jaminan buat senior - Rajagobal

TIADA seorang pun pemain senior sudah terjamin untuk mengisi kuota tiga pemain melebihi usia 23 tahun dalam skuad bola sepak kebangsaan ke temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

Demikian jelas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ketika ditanya tentang peluang tujuh pemain senior dalam senarai 27 pelatih skuad kebangsaan yang kini menjalani latihan pusat fasa kedua bermula semalam hingga 9 April depan.

Menurut Rajagobal, beliau hanya akan membuat pemilihan tiga pemain tersebut pada saat-saat akhir.

"Kita kena ingat, setiap pemain mempunyai turun naik prestasi. Ada ketika mereka pada prestasi cukup bagus dan sebaliknya.

"Jadi untuk Sukan Asia, saya akan buat cara yang sama ketika saya menamakan 20 pemain ke Sukan SEA 2009 sehari sebelum kita berlepas ke Laos," katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Tujuh pemain 'lebih umur' yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini ialah Farizal Marlias, Sharbinee Allawee Ramli, Norhafiz Zamani Misbah, Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan S. Kunanlan.

Dalam pada itu, Rajagobal memberi- tahu, hanya satu perlawanan dapat diatur pada latihan pusat kali ini meman- dangkan lebih separuh daripada pemainnya akan terlibat dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada 30 Mac dan 3 April depan.

"Kita menerima jemputan untuk bertemu kelab Thailand, BEC Tero Sasana pada Sabtu ini. Mereka lawan yang bagus buat kita kerana dibarisi beberapa pemain kebangsaan Thailand dan juga pemain import.

"Selepas itu, saya tidak dapat susun perlawanan kedua kerana kita kehilangan 15 pemain yang beraksi untuk separuh akhir Piala FA. Tak guna kita main jika kita tak cukup pemain.

"Lebih baik saya tumpu kepada sesi latihan kerana ia memberi peluang untuk saya melihat pemain-pemain baru yang dipanggil kali ini," jelas Rajagobal.

Hanya 21 daripada 27 pelatih yang dipanggil turun berlatih semalam.

Dua pemain mengalami kecederaan pangkal paha iaitu Yong Kuong Yong (Kuala Lumpur) dan Faizal Abu Bakar (Kedah).

Manakala empat pemain iaitu Safiq Rahim, Nasriq Baharom, Bunyamin Umar dan Asraruddin Putra Omar bersama skuad Selangor ke Maldives untuk bertemu Victory SC dalam saingan Piala AFC 2010 petang esok.

0 comments: