Monday, March 29, 2010

Harimau Muda catat kemenangan sulung di Slovakia


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) negara, Harimau Muda A akhirnya berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan kelima mereka di Slovakia malam kelmarin.

Pada aksi di tempat lawan itu, Harimau Muda A berjaya menewaskan pasukan di tangga kelapan Liga 1 Slovakia, MFK Dolny Kubin 3-2.

Jurulatih Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, para pemainnya telah menampilkan peningkatan yang cukup membanggakan pada perlawanan tersebut dan berjuang sehingga wisel penamat.

“Kita mendahului pada minit ke-23 menerusi Izzaq Faris Ramlan tetapi lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31.

“Mereka kemudian mendahului pula pada minit ke-72 sebelum kita berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 juga menerusi jaringan Izzaq Faris.

“Ketika perlawanan hampir menuju ke masa kecederaan, kita berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi S. Sivanesan.

“Alhamdulillah, kemenangan sulung ini memberi kelegaan kepada kami dan meningkatkan kembali keyakinan para pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Jelas Azraai, pada malam sebelum perlawanan itu, dia telah mengadakan sesi motivasi bagi memastikan para pemain muda negara meningkatkan komunikasi mereka ketika di atas padang.

“Saya kata, peluang tiga bulan inilah tempoh terbaik untuk mereka meningkatkan komunikasi sesama mereka. Saya dapati, banyak peningkatan dari segi disiplin taktikal telah berjaya mereka lakukan selepas sebulan kita berada di Slovakia ini.

“Selepas perlawanan semalam (kelmarin) juga, presiden liga telah menghubungi ejen kami dan ucapkan tahniah di atas kemenangan sulung ini,” ujarnya.

Perlawanan keenam pada Ahad ini bakal menyaksikan Harimau Muda A bertemu FC Vion untuk aksi ‘derby’ di Zlate Moravce dan Azraai menganggap ia pertemuan yang cukup menarik kerana lawan merupakan pendahulu Liga 1 Slovakia ketika ini.

0 comments: